'Jangan mandat dicari rakyat pula makin benci'

Seorang ahli parlimen Amanah berkata Pakatan Harapan (PH) tidak perlu membuka ruang untuk menghadapi musuh baru sebaliknya penting untuk mereka memberikan fokus ke arah sasaran yang sama.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof, berkata satu musuh sudah mencukupi untuk dihadapi PH dalam usaha gabungan berkenaan menjadi kerajaan semula.

Justeru kata Mujahid, mana-mana pihak atau individu yang mahu menyertai usaha PH itu melawan musuh yang sama perlu diterima tanpa mengetepikan sikap berhati-hati.

"Sebab itu perjanjian hitam putih sangat penting. Jangan lepaskan peluang membina kekuatan untuk berhadapan musuh kita yang semakin lemah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Meskipun tidak memetik sebarang nama atau kejadian secara khusus Mujahid dipercayai mengulas mengenai perkembangan semasa politik negara yang menyaksikan kemelut melanda PH ketika gabungan itu dan beberapa ahli parlimen lain mencari persetujuan calon perdana menteri.

Ketika PKR bertegas mahukan presiden mereka, Anwar Ibrahim, menjadi calon perdana menteri untuk ditawarkan kepada ahli-ahli parlimen lain, DAP dan Amanah pula cenderung untuk bertolak ansur dengan menaikkan Ahli Parlimen Langkawi, Dr Mahathir Mohamad, sekali lagi.

Pencalonan Mahathir diyakini dapat menarik sokongan ahli parlimen lain yang kini menyebelahi Perikatan Nasional (PN) termasuk dari Sarawak dan Sabah.

Jika ada niat mengkhianati

Beberapa ahli parlimen dari Semenanjung Malaysia juga diyakini akan mengalih sokongan mereka daripada PN.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kini didakwa mendapat sokongan majoriti tipis saja di Dewan Rakyat dan sebarang perubahan sikap ahli parlimen boleh membawa kepada kejatuhan PN.

Pada masa sama Umno-BN juga dilihat lebih menumpukan gerak kerja mereka kepada Muafakat Nasional yang dibentuk secara rasmi dengan PAS.

Sokongan Amanah dan DAP kepada Mahathir menimbulkan tanda tanya serta keresahan dalam kalangan penyokong mereka kerana ia tidak dipersetujui PKR.

Mujahid berkata untuk mengembalikan mandat yang diberikan rakyat kepada PH, gabungan itu tidak sepatutnya berpecah sekali gus memberikan kekuatan kepada PN.

Asas sebenar yang perlu diberi penekanan, kata naib presiden Amanah itu, ialah mengembalikan mandat rakyat kepada PH.

Pada masa sama, kata Mujahid, apa yang berlaku pada PH sedang diperhatikan orang ramai dan kegagalan menguruskannya dengan baik menyebabkan rakyat menjadi muak.

"Lupakan sengketa, ikat kebimbangan dengan janji, biar jelas keingkarannya nanti jika ada niat untuk khianati.

"Mana janji kita untuk kembali? Jangan nanti mandat yang dicari, rakyat pula dah mula benci!" katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan