Shahbudin Husin
Apakah kerajaan Perikatan Nasional atau PN benar-benar akan tumbang dalam masa terdekat ini atau ia sekadar perang psikologi yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH)?
Inilah antara persoalan yang sedang bermain dalam kepala majoriti rakyat ketika ini.
Sesetengah rakyat percaya PN akan tumbang dalam masa terdekat, manakala yang lain pula yakin ia mampu bertahan sehingga PRU15 akan datang.
Sementara sokongan yang ada pada PN sebagai kerajaan amat runcing dan terumbang-ambing iaitu hanya dua majoriti Ahli-Ahli Parlimen dan mungkin berkurangan lagi dalam waktu terdekat ini, yang sukar dinafikan juga ialah penolakan rakyat ternampak terus berkembang daripada semasa ke semasa.
Ada banyak isu yang menyebabkan rakyat mula sangsi dengan kerajaan sekarang, antaranya rungutan berhubung bantuan kepada rakyat akibat Covid-19 tidak seperti yang dijanjikan, tiada pelan untuk rakyat yang hilang pendapatan, masih tidak membela nasib Adib Kassim, anggota Bomba yang terbunuh dalam tragedi Kuil di Subang, hudud dan RUU355 masih kabur, kerajaan terlebih memanjakan Ahli-Ahli Parlimen dengan lambakan jawatan GLC dan pelbagai lagi.
Gembar-gembar kononnya kerajaan PN ini adalah kerajaan Melayu/Islam hampir tiada maknanya bagi rakyat kerana apa yang mereka bising-bising sebelum ini semuanya jadi senyap belaka apabila sudah beroleh kuasa.
Selain itu, dari sudut politik, cara Muhyiddin Yassin menangani isu Bersatu dengan keghairahan bertindak ala diktator turut membuatkan rakyat terhakis keyakinan terhadapnya.
Ramai yang melihat Muhyiddin atas kedudukannya sebagai Perdana Menteri tidak harus bertindak sekeras itu terhadap Tun Mahathir Mohamad selaku pengasas Bersatu atau kepada Mukhriz Mahathir yang akan mencabarnya bagi jawatan Presiden parti, sebaliknya perlu berhadapan secara “gentleman” dengan mereka dalam proses pemilihan.
Jika diperhatikan cara Muhyiddin ini tidak ubah seperti apa yang dilakukan Najib Razak sebelum beliau tumbang pada PRU14 lalu.
Ketika itu, semua yang cuba menentang dan melawannya akan dipecat dan diketepikan melalui kuasa dan keangkuhan yang bertapak tinggi dalam dirinya.
Najib juga pada waktu itu tidak memperdulikan banyak teguran yang bertujuan memperbaiki kelemahannya lantaran terlalu yakin dirinya kebal daripada dijatuhkan.
Akhirnya, dengan serangan demi serangan yang mengakibatkan penolakan kian membesar, sokongan yang ada padanya terhakis sedikit demi sedikit dan akhinya berjaya ditumbangkan.
Apa bezanya dengan kedudukan Muhyiddin sekarang?
Kalau diperhati dan diteliti, semuanya saling tak berbeza sama sekali.
Sementara majoriti yang ada padanya hanya cukup-cukup makan dan serangan pihak lawan iaitu PH dan kumpulan Tun Mahathir sentiasa agresif, berfakta dan boleh diterima, ditambah rasa tidak puas hati rakyat yang terus membuak-buak, hakikatnya penolakan kepada Muhyiddin sekarang ini tak ubah seperti bagaimana Najib dan BN ditolak sebelum dijatuhkan pada PRU14 lalu.
Melihat semua perkembangan mutakhir, jika diadakan PRU mengejut sekali pun dalam waktu terdekat ini, kalau mereka tidak berpecah dan mampu berpakat sekali pun, PN tetap sukar untuk mencapai kemenangan berbanding PH.
Apa lagi kerana PN beroleh kuasa melalui pengkhianatan dan perampokan di tengah-tengah jalan, gelodak rakyat untuk membalas dendam tidak pernah surut selagi ia tidak dilampiaskan.
Lantaran itu, mungkin faktor paling pokok ialah tidak sanggup kecundang dalam PRU15 akan datang, dalam waktu-waktu mendatang ini akan terlihat perkembangan beberapa Ahli Parlimen PN menyeberang kembali kepada PH.
Mungkin bermula dengan seorang, diikuti seorang dua selepasnya, kemudian ada lagi menyusul, realitinya PN dalam potensi yang sangat besar untuk menjadi kerajaan paling singkat dalam sejarah negara.
Oleh itu, kemungkinan PN akan tumbang dalam waktu terdekat ini bukan sekadar perang psikologi, tetapi realiti yang paling mungkin menjadi kenyataan. (Shahbudindotcom 02/06/2020)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan