AHMAD LUTFI OTHMAN
Ahmad Lutfi OthmanMemang saya berhasrat untuk menulis dengan lebih menyeluruh hikayat hubungan sulit perselingkuhan Pas-Umno SEBELUM PRU14 dahulu. Malah ada yang mencadangkan ia dirakamkan dalam bentuk buku nipis. Namun, sebenarnya tidak ada rahsia yang mahu dibongkar dan diselongkar pun. Pemimpin utama Pas sendiri sudah mengakuinya, selepas BN tumbang Mei 2018. Hatta masing-masing saling mendakwa mereka yang lebih awal merintis hubungan sulit itu tanpa pengetahuan ahli-ahli Pas.
Tunggulah kemunculan tulisan berkenaan; tak perlu kalut-heboh pun, sekadar mahu mendedahkan sandiwara dan wayang pemimpin Pas di depan penyokong serta pemimpin akar umbi.
Sebelum PRU14, pemimpin Pas bermati-matian menafikan perselingkuhan itu. Semuanya disifafkan fitnah dan dusta yang mahu menghancurkan kredebiliti Pas. Sudah pasti ahli, pemimpin akar umbi dan para penyokong akan mengaminkan apa jua titah ulamak Pas. Berulangkali Pas menegaskan ia tiada sebarang hubungan sulit dengan Umno, walhal sudah terjalin strategi bersama untuk menghadapi PRU14 yang cukup kritikal itu.
Hubungan yang terjalin di zaman Abdullah Ahmad Badawi (pasca PRU2008) jadi perdana menteri itu tidaklah mengejutkan. Ada latarbelakang cerita yang sepadan untuk menjustifikasikannya. Personaliti Pak Lah juga mendorong ke arah hubungan sulit itu. Nasib baik majoriti pimpinan Pas, khususnya Almarhum Nik Abd Aziz Nik Mat tegas menolak idea kerajaan perpaduan itu.
Bagaimanapun, yang menimbulkan kehairanan saya, selepas Pak Lah jatuh dan naik Najib Razak, Pas semakin terpesona dengan Umno-Najib ini. Ya, apa istimewa dan lebihnya suami Rosmah Mansor ini? Di tengah kekalutan skandal gergasi 1MDB, hebohnya dakwaan konspirasi berkaitan Altantuya, dan 1001 cerita salahguna kuasa, namun Pas tidak dapat menyembunyikan “keasyikan cinta-kasihnya” kepada Umno-Najib. Benar, saya sendiri takjub bagaimana pemimpin utama-ulamak Pas boleh tersilau dengan cinta-butanya itu.
Najib sendiri mengakui dalam ceramah bersama Pas di Langkawi, pada 6 Februari 2019, selepas kalah PRU14, pertandingan tiga penjuru di antara BN-Pas-PH merupakan strategi yang salah, mengakibatkan Pakatan Harapan menang. Apa maksud “strategi yang salah”? Maknanya, strategis Pas-Umno sengaja pilih pendekatan tiga penjuru itu bagi mengekalkan Umno-Najib di Putrajaya. Mereka menjangkakan undi tradisi pembangkang akan berpecah dua kepada PH dan Pas, menyebabkan majoriti undi diperolehi Umno. Dan merasakan sokongan baru kepada Dr Mahathir dan parti Bersatu tidak mencukupi untuk menampung undi yang lari itu.
Kunci katanya, Pas-Umno khususnya dalam kalangan strategis dan perancang politiknya, memang berpakat menghadapi PRU14 itu. Berpakat atau bekerjasama tidak bermakna membentuk satu gabungan, tetapi cukup dengan berkongsi menyusun strategi demi mencapai manfaat bersama. Bukankah pilihan raya itu umpama perang yang penuh taktik dan tipu muslihat? Yang penting, hadapi musuh secara bersama, iaitu Pakatan Harapan, dan dapat dikalahkan. Rujukan terbaik Najib ketika itu adalah keputusan dua pilihan raya kecil sebelum PRU14, iaitu di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru, yang dimenangi dengan mudah oleh BN, apabila undi pembangkang terbahagi di antara Pas dan AMANAH.
Perincian hubungan sulit Pas-Umno itu saya akan tulis nanti, termasuk mengemukakan bukti dana Umno dicurahkan buat Pas.
Dalam tulisan ini, saya cuma mahu bangkitkan persoalan, faktor Najib seperti begitu istimewa sekali bagi Pas. Saya pernah mencatatkan, semasa kempen pilihan raya negeri Sarawak 2016, rombongan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang terserempak dengan kumpulan kempen Umno yang diketuai Najib. Kamera merakamkan detik-detik pertemuan itu. Hadi berdakapan mesra dengan Najib, ibarat sahabat lama terpisah. Riak ceria penuh kegembiraan di raut muka Hadi. Itu sekadar bacaan saya mengenai lenggok atau bahasa badan mereka!
Lama selepas itu, dalam situasi yang jauh berbeda, selepas mahkamah memutuskan Najib bersalah terhadap semua tuduhan berkaitan skandal SRC. Malamnya, pemimpin utama Pas, termasuk presiden, timbalan presiden dan setiausaha agung mengunjungi Najib di kediamannya, sebagai tanda sokongan sahabat di waktu sulit. Saya mengesan kunjungan spontan itu lahir daripada hubungan personal yang istimewa sejak lama.
Terbaru, ketua penerangan Muslimat Pas membandingkan pendedahan Menteri Kewangan di Parlimen, mengenai 101 projek bernilai RM6.6 bilion melalui rundingan terus dengan prestasi BN zaman Najib yang dilihat jauh lebih telus:
“Memang benar ada sesetengah projek harus dibuat rundingan terus tanpa dibuka kerana memerlukan keputusan yang cepat, namun nilaian RM6.61 billion itu amat tinggi memandangkan tempoh menjadi Menteri Kewangan hanyalah selama 22 bulan berbanding RM2.5 bilion dalam tempoh 5 tahun Dato’ Seri Najib memegang Menteri Kewangan.”
Mungkin pemimpin tertinggi Umno pun tidak menunjukkan hubungan seakrab itu dengan Najib, terutama selepas dihukum penjara dan denda lebih RM200 juta.
Rekod pentadbiran Najib selama sembilan tahun diketahui seluruh pelosok dunia sarat dengan korupsi dan salahguna kuasa; kleptokrat bertaraf global dan tidak dapat ditandingi kecurangannya.
Tentu ada pihak merasakan saya terlalu berlebih-lebihan untuk menggambarkan hubungan baik Pas-Najib itu. Ya, nampak pelik-aneh yang sukar saya mencari justifikasinya. Atau mungkin saya sendiri tidak lagi mengenali dan memahami watak pemimpin-pemimpin Pas walaupun agak lama saya pernah dekat dengan mereka.
Atau ada sesuatu yang istimewa mengikat mereka, yang saya sendiri tidak tahu selama ini? Umum hanya tahu hanya berdasarkan satu dua pendedahan, antaranya transaksi RM2.5 juta wang Umno kepada tabung dan pemimpin Pas. Rasanya itu adalah sekelumit kecil buktinya, rahsia lebih besar masih tersimpan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan