YUSLAINI AZMI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, ahli Parlimen Kuala Nerus membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia apabila didapati melanggar SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejurus pulang dari Turki malah beliau sendiri mengakuinya.
Sumber terdekatnya memberitahu keputusan Covid-19 Khairuddin didapati negatif. Turki mencatatkan lebih daripada 250,000 kes dan 6,061 kematian akibat Covid-19 sudah tentu memberi keresahan buat rakyat Malaysia.
Jika perkara ini terjadi terhadap orang ramai saya pasti hukuman keras telah dijatuhkan tetapi apabila seorang ahli politik melanggar SOP Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beliau terlepas begitu sahaja.
Perkara inilah yang diperdebatkan oleh netizen memandangkan ia adalah kesalahan serius di saat dunia masih lagi bertarung dengan pandemik Covid19 dan masih belum menemui vaksin untuk virus tersebut.
Berdasarkan Perkara 48 Perlembagaan Malaysia (e) memperuntukkan seorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan jika dikenakan hukuman denda minimum RM 2 000 atau penjara lebih daripada setahun.
Seseorang yang telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada RM 2 000 dan dia tidak mendapat pengampunan bebas.
Saya pasti kekhuatiran pasti terjadi buat ahli politik tersebut memandangkan telah melanggar peraturan namun begitu ini bukanlah kali pertama ahli politik serta ahli keluarga terdekat mereka melanggar peraturan dari KKM sepanjang musim pandemik ini.
Sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali juga pernah dikenakan denda RM 1 000 kerana gagal mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP) awal April lalu.
Sebelum itu juga, anak Zahid Hamidi turut mencetuskan kontroversi apabila didapati melanggar arahan PKP sambil menayangkan fotonya di media sosial yang bebas berkeliaran di saat rakyat terpaksa berkurung diri dari menyebarkan virus berkenaan.
Menteri Jabatan Perdana Menteri YB Mustapha Mohamed juga turut melakukan hal yang sama ketika Malaysia menghadapi peraturan ketat PKP dan menimbulkan kemarahan rakyat.
Persoalannya sekarang adakah undang-undang hanya terpakai untuk rakyat biasa? Kenapa kerajaan hari ini masih bersifat selektif atau double standard dalam menjatuhkan hukuman? Ekoran daripada isu tersebut pemimpin DAP Teresa Kok membuat laporan polis terhadap Khairudin.
Menurut sumber Teresa Kok mendakwa menteri terbabit ingkar arahan kuarantin dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.
Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, semalam berkata pihaknya sedang menyiasat dakwaan terhadap Khairuddin tersebut.
Sementara itu, diminta mengulas penutupan surau Al-Mustaqim di Kampung Banggol Pauh dan Masjid Seberang Bukit Tumbuh yang terletak di kawasan Parlimen Kuala Nerus selama tiga hari mulai semalam, Khairuddin enggan mengulas lanjut dan bertindak mengunci mulut.
Saya berharap pihak berkuasa tidak pilih kasih dalam menjatuhkan hukuman seharusnya keadilan perlu ditegakkan. Usah kita memandang remeh akan pelbagai usaha oleh pihak KKM dalam membendung wabak ini dari menular. Yang bersalah tetap perlu dihukum tidak kira yang kaya atau miskin.
Saya juga menyeru supaya pimpinan PAS terutamanya hentikan budaya mengeluarkan dalil palsu bagi menipu rakyat, hal ini sudah terang lagi bersuluh.Tindakan wajar diambil, kami rakyat Malaysia inginkan undang-undang terpakai sama-rata tidak siapapun mereka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan