Apakah kerajaan akan bertukar di Johor, sukar nampaknya

BORHAN AHMAD

Apakah akan berlaku perubahan kerajaan di negeri Johor jika Adun Kempas Datuk Osman Sapian bertindak memberikan sokongan kepada pembangkang. Nampaknya tidak semudah itu.

Inilah pandangan banyak pihak dengan suasana politik di negeri itu terutama ketika negara masih berdepan dengan ancaman Covid-19 dan kerajaan masih menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya diberitahu, Istana Johor lebih sedia membubarkan Dewan Undangan Negeri Johor jika hanya satu atau dua kerusi majoriti sahaja dalam Dewan.

“Ini bermakna, perubahan kerajaan hanya akan berlaku jika beza Adun sehingga empat atau lima orang lebih. Jika hanya satu atau dua sahaja beza, saya percaya DUN Johor akan dibubarkan sebagaimana Sabah,” kata Adun Paloh dari DAP, Sheikh Omar Ali kepada Malaysia Dateline.

Kerajaan Johor yang terdiri dari Umno, Bersatu dan Pas sekarang hanya mempunyai 29 Adun manakala pembangkang yang terdiri dari AMANAH, PKR, DAP dan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad pula mempunyai 27 Adun.

Apabila Adun Kempas, Datuk Osman Sapian, dikatakan sedang membuat onar dan kemungkinan akan beralih kepada pembangkang, kedudukan DUN Johor dikatakan bakal tergantung menjadi sama banyak iaitu 28:28.

Ini menyebabkan Speaker DUN Suhaizan Kayat dari AMANAH mempunyai kuasa penentu untuk meluluskan sesuatu usul dalam sidang DUN Johor.

“Saya ada kuasa penentu jika undi sama banyak,” kata Suhaizan kepada Malaysia Dateline sebelum ini.

Jika Suhaizan memihak kepada pembangkang dalam memberikan undi penentunya, kerajaan Johor boleh jatuh dan besar kemungkinan DUN akan dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya diadakan semula.

DUN Johor akan bersidang selama dua hari iaitu Khamis dan Ahad ini.

Namun sehingga kini, Adun Negeri Johor tidak menerima sebarang surat atau notis yang memberitahu sebarang undi penting akan diadakan dalam sidang kali ini.

“Sebelum ini, kami jangka kerajaan akan menukar Speaker, namun tidak ada notis mengenainya lagi. Jadi tidak ada pengundian untuk Speaker,” kata Adun Paloh, Sheikh Omar Ali.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan