Bernama
PUTRAJAYA: Tiga pegawai imigresen, seorang daripadanya wanita, direman 5 hari bermula hari ini kerana disyaki menerima wang suapan bagi mempercepatkan proses pengeluaran pas kepada warga asing untuk kembali ke negara asal tanpa melalui Sistem Temujanji Online (STO).
Majistret Shah Wira Abdul Halim mengeluarkan perintah reman sehingga 14 Sept ini, selepas mendengar permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber SPRM, mereka yang berumur 33 dan 35 tahun itu ditahan antara 12 tengah hari hingga 5.50 petang semalam di Ibu Pejabat SPRM di sini ketika hadir memberi keterangan.
Mereka dibawa ke mahkamah kira-kira 9.50 pagi tadi dengan berpakaian biasa dan tangan bergari.
Menurut sumber SPRM, kegiatan itu dipercayai berlaku sejak perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) dilaksanakan, di mana pegawai terbabit berurusan dengan orang tengah untuk menguruskan pengeluaran pas warga asing yang tinggal melebihi tempoh untuk mereka kembali ke negara asal.
Sumber itu berkata, sebagai balasan, ketiga-tiga suspek dikatakan mengambil suapan antara RM300 dan RM500 bagi setiap pas yang dikeluarkan tanpa melalui STO.
Semalam, sumber SPRM dilaporkan berkata, 2 individu termasuk seorang pegawai imigresen direman 5 hari bagi membantu siasatan kes sama.
Pengarah SPRM Putrajaya, Hasbilah Mohamad Salleh yang mengesahkan penahanan itu berkata, semua individu itu disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan