Faktor Veveonah pemboleh ubah corak pengundian di PRN Sabah

MALAYSIA DATELINE

Ketidakcekapan Timbalan Menteri Komunikasi, Datuk Zahidi Zainal Abidin dalam isu mahasiswa Veveonah yang mengundang persepsi negatif terhadap kerajaan hari ini, menjadi pemboleh ubah penting corak pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini.

Ketua Penyelidik Ilham Centre, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, peristiwa yang terjadi kepada Veveonah baru-baru ini mengundang bermacam-macam reaksi dalam kalangan anak-anak muda.

Katanya, ramai yang melihat Veveonah daripada golongan marhain yang telah dihina dengan kata-kata orang berpangkat dan memiliki kuasa.

“Beliau mahasiswa, yang berjuang dengan segala kepayahan untuk meneruskan pengajian, diperlekeh secara tidak sengaja.

“Walaupun Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia telah memohon maaf atas kekhilafan, saya dapati sentimen simpati kepada Veveonah semakin berkembang di Sabah,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau percaya sentimen itu mudah merebak kerana yang membuat kenyataan dianggap menghina itu adalah pemimpin dari Kuala Lumpur (Semenanjung).

Sehinggakan katanya, sudah mula ada suara dalam kalangan mahasiswa dan anak muda Sabah untuk menolak parti yang dikaitkan dengan Malaya (Semenanjung) dalam PRN nanti.

“Suara-suara ini mula berpadu dengan sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang bermula pada PRU14, masih berkembang sehingga sekarang.

“Lebih-lebih lagi Veveonah daripada etnik Dusun, salah satu kumpulan pengundi terbesar di Sabah dalam kalangan bumiputera Kadazan-Dusun-Murut (KDM),” kata.

Jika sentimen ini merebak lebih meluas tidak mustahil katanya faktor Veveonah ini akan jadi pemboleh ubah penting dalam corak pengundian 26 September nanti.

“Menarik untuk diperhatikan bagaimana PN/BN akan mengurus isu ini, serta bagaimana Warisan akan memanipulasi sentimen ini untuk keberuntungan politik mereka,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial berkaitan Veveonah, penuntut Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang memanjat pokok di kampungnya di Pitas, Sabah demi mendapatkan talian Internet untuk menduduki peperiksaan dalam talian.

Bagaimanapun, Zahidi dalam Dewan Negara baru-baru ini memberitahu bahawa hasil siasatan kementerian mendapati, Veveonah sebenarnya tidak menduduki peperiksaan ketika video tular memanjat pokok untuk mendapatkan capaian Internet itu dirakam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan