ZAKARIA MUSA
Saya tidak sempat ikuti wawancara Sinar dengan Husam Musa, bekas Naib Presiden AMANAH yang baharu meletakkan jawatan. Berdasarkan reaksi dalam media sosial, beberapa sudut pandang Husam menarik perhatian ramai dan nencetuskan kontroversi, khususnya di kalangan penggerak dan aktivis parti Islam yang memilih pendekatan progresif itu sendiri.
Pengakuan Husam bahawa AMANAH perlu dilonjakkan segera, khususnya di Kelantan, sudah lama diperkatakan. Parti yang berusia lima tahun itu dilihat gagal memberikan saingan sengit di kubu kuat Pas — Pantai Timur dan utara Semenanjung — sejak PRU14 lagi.
Malah semasa AMANAH bersama menganggotai pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan pun, ia nampak kurang berjaya mengembangkan pengaruh di negeri-negeri “Malay belt” itu. Difahamkan keahlian parti bertambah dengan baik pasca PRU14, khususnya di Kelantan, namun impak politiknya belum cukup terasa.
Masa sama, saingan terdekat AMANAH, iaitu Pas, berjaya menguasai sebuah lagi negeri, Kedah. Untuk rekod, semua 18 ahli Parlimen Pas berasal daripada Kelantan, Terengganu dan Kedah; wilayah yang sepatutnya menjadi tumpuan AMANAH menjelang PRU15 nanti.
Lontaran kritikan Husam semalam turut mengocak suasana dalam AMANAH. Meskipun sudah ada penjelasan daripada presiden dan ketua komunikasi parti, serta memaklumkan Husam akan diberi peranan lebih penting, namun ia tidak menghalang spekulasi dan berita angin. AMANAH pula mengambil sikap terbuka dan bersedia menerima teguran, sekali gus mematikan tohmahan liar bahawa presidennya menutup pintu rundingan.
Apa pun perdebatannya, pimpinan parti menyedari cabaran, halangan dan harapan besar penyokong-penggerak AMANAH di seluruh pelosok negara. Hampir semua pihak mengakui parti perlu dilonjakkan serta diberi suntikan senangat yang lebih segar. Imej sebagai parti Islam yang progresif, peduli dan inklusif, yang menawarkan solusi praktikal kepada Malaysia yang serba bermasalah belum dirasai ramai. Hatta kehadiran AMANAH dalam persada politik tanahair pun mungkin belum terkesan, selain tohmahan tidak berasas seperti “khadam DAP” dan sebagainya.
Kesempatan sebagai anggota pentadbiran kerajaan persekutuan dengan menerajui lima kementerian dan sebuah kerajaan negeri, selama hampir dua tahun, mungkin merupakan pengalaman yang cukup bermakna, tetapi cukup singkat untuk mempromosi parti kepada khalayak lebih meluas. Tumbangnya kerajaan secara tiba-tiba itu adalah satu tragedi yang cukup menyedihkan. Ia ibarat pesawat yang terhempas ditembak jatuh.
Diberitakan momentum penyertaan keahlian AMANAH turut terganggu selepas kejatuhan kerajaan, akhir Februari lalu. Malah, pertelingkahan dalaman Pakatan Harapan berkaitan faktor dua tokoh besar — Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim — juga memberi kesan kepada AMANAH. Dan isu ini juga turut disentuh Husam dalam wawancara berkenaan.
Ramai melihat AMANAH sebagai faktor pemersatu dalam gabungan Pakatan Harapan. Biarpun dilihat parti kecil dan muda usianya, AMANAH terbuka kepada pembentukan koalisi pembangkang yang lebih besar. Ia juga tidak terikat dengan apa-apa opsyen yang rigid; melihat dan menanggapi sesuatu dalam kerangka besar.
Misalnya, isu mengembalikan semula kerajaan mandat rakyat yang dicuri, AMANAH lebih terbuka dengan pilihan siapa sepatutnya menjadi perdana menteri. Daripada Mahathir, Anwar dan juga Shafie Apdal; yang penting dapat mencapai “cukup bilang” dengan persetujuan bersama. Mungkin pendirian seperti itu tidak popular dan mengundang kecaman, malah dilabelkan “kemaruk kuasa” tetapi ia tetap langkah politik terbaik.
Sekiranya sikap politik ini boleh menimbulkan keributan besar dalam parti, AMANAH harus pandang serius polemik ini. Namun, bukan bermakna suara berbeda tidak diraikan. Jelajah pimpinan nasional turun ke negeri-negeri menjelaskannya memang inisiatif yang baik, namun ia tidak wajar menjadi penghalang kepada “aksi bertindak” yang lebih proaktif. Dinamika politik begitu cepat berubah, kita tidak boleh berpusing-pusing di persimpangan.
Ada saranan agar dianjurkan konvensyen khas bagi membincangkan halatuju permuafakatan pembangkang menuju PRU15. Mungkin ia boleh dimulai dengan diskusi dalaman AMANAH sendiri. Tetapi ada pandangan mengatakan, kenapa perlu menyikapi masalah kecil ini sehingga kelihatan seperti isu besar yang serius? Ia boleh menghantar mesej yang salah kepada publik.
Pemerhatian rambang mendapati tiada konflik besar melanda AMANAH seputar isu Mahathir-Anwar ini. Mungkin ada kecenderungan berbeda terhadap kedua-dua negarawan itu daripada pimpinan parti, tetapi ia masih boleh diuruskan secara berhikmah. Mengenai faktor parti baharu, Pejuang, sikap yang ditunjukkan PH semasa PRK Slim dikira memadai. Prinsip meramaikan kawan dan meminimumkan seteru adalah langkah bijaksana.
Perselisihan Mahathir-Anwar bukan perkara baharu. Kedua-dua tokoh itu lebih maklum dan faham “perseteruan” mereka. Berdepan gabungan Perikatan Nasional, sekali gus Muafakaf Nasional, memerlukan penggemblengan setiap sumber dan potensi dengan rapi serta sistematik. Hakikat yabg terpaksa diterima, baik gabungan pemerintah mahupun pembangkang, masing-masing berdepan isu sama; sukarnya mencari kesatuan!
Namun tulisan ini sebenarnya lebih berhasrat untuk menarik perhatian mengenai pengaruh dan kekuatan AMANAH yang dikira agak terbantut. Aksi Husam menarik diri daripada kepemimpinan utama memang bukan sebahagian daripada solusinya, namun ia diharap dapat menarik perhatian aktivis parti untuk kembali bingkas menggerakkan operasi, juga memikirkan strategi terbaik dalam situasi kritikal ini. Pendekatan yang salah boleh menatijahkan kesan yang tersasar dan pembaziran sumber. Masa belum terlewat untuk berubah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan