Puad gesa PM berundur, dakwa Azmin, Hamzah dipersalahkan
Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri selepas Yang di-Pertuan Agong menolak cadangannya untuk mengisytiharkan darurat.
Dalam satu hantaran di Facebook, Fuad juga menjelaskan mengenai apa yang berlaku di kediaman perdana menteri di Bukit Damansara, Kuala Lumpur, malam tadi.
Puad mendakwa pertemuan di kediaman Muhyiddin itu berlangsung dalam suasana emosi apabila pemimpin Bersatu dikatakan menyalahkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali dan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin berhubung cadangan tersebut.
"Semua menuding jari ke arah Azmin dan Hamzah. Benarkah “ill advise” kepada Muhyiddin itu adalah mereka," Soal Puad.
Ketika pemimpin Perikatan Nasional (PN) berkumpul di kediaman Muhyiddin malam tadi, terdapat spekulasi bahawa perdana menteri dan presiden Bersatu itu akan meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, seorang pemimpin kanan Bersatu yang bercakap dengan Malaysiakini dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan menafikan perkara ini.
Sementara itu, Puad berkata penolakan Yang di-Pertuan Agong terhadap perisytiharan darurat mempunyai dua implikasi.
"Pertama, Agong menyedari “langkah Muhyiddin” itu hanyalah muslihat politik bukan untuk memerangi Covid-19.
"Di para tiga kenyataan media Istana Negara, dinyatakan....'Al-Sultan Abdullah merasakan Kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan',"
"Kalau YDP Agung yakin, kenapa PM tidak yakin. Apakah PM cuba membohongi YDP Agong? Alhamdulillah, YDP Agong dan Majlis Raja-Raja amat teliti dan bijaksana," kata Puad.
Kedua katanya, ramai pakar perundangan mengatakan Seri Padukan harus mendengar nasihat perdana menteri seperti termaktub dalam Artikel 40 Perlembagaan Persekutuan, namun perkara itu tidak berlaku.
"Tapi nampaknya nasihat Memanda Menteri tidak diterima. Maka di mana kredibiliti seorang perdana menteri," katanya.
MP PKR: Letak jawatan atau pecat dua menteri
Dalam perkembangan berkaitan, anggota parlimen PKR, Wong Chen juga mendesak Muhyiddin meletakkan jawatan atau sekurang-kurangnya memecat dua menteri kanannya.
Walaupun tidak menyebut nama, jelas bahawa Anggota Parlimen Subang itu merujuk kepada Azmin dan Hamzah.
K"Sebilangan besar rakyat Malaysia percaya perdana menteri harus meletakkan jawatan. Dalam sejarah politik Malaysia, saya tak fikir Agong pernah berkata tidak dengan cadangan perdana menteri," kata Wong.
Beliau menyifatkan cadangan untuk mengiytiharkan darurat dan menggantung parlimen sebagai tidak masuk akal sehingga ditolak oleh Raja-raja Melayu.
"Jika dia tidak mengundurkan diri, setidaknya dua menteri kanannya harus dipecat. Kita tahu bahawa perdana menteri tidak sihat kebelakangan ini dan ada cakap-cakap berterusan bahawa dia dipengaruhi oleh dua menteri kanan ini.
"Oleh itu, lebih baik perdana menteri meletak jawatan atau dia memecat kedua-dua menteri kanan tersebut kerana usaha untuk menumbangkan demokrasi di Malaysia ”tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan