MOHD ARIF JUHANI
Semasa seluruh negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu sebagai salah satu usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19, ruang waktu itu menjadi peluang serta kelebihan kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan kerajaan selepas Langkah Sheraton.
Ucapan Muhyiddin yang disifatkan penuh keramahan, ke’abah’an, merakyat dan menenangkan dilihat begitu meyakinkan sekaligus meningkatkan persepsi positif dalam kalangan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Imej kekeluargaan yang dibentuk telah mengukuhkan kerajaan Muhyiddin apabila beliau diberi gelaran ‘abah’; Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob dipanggil ‘Pak Long’; Menteri Kewangan, Tengku Zafrul pula ‘Pak Su’; dan Ketua Pengarah KKM, Dr Noor Hisham Abdullah (Pak Ngah).
Media rasmi kerajaan pula berulang kali menyiarkan bacaan doa abah yang menyentuh hati dengan nada sebak pada penghujung doa. Ini gabungan resepi terbaik PN untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Penggunaan bahasa yang mudah oleh Muhyiddin untuk memujuk rakyat supaya kekal di rumah di samping pengenalan beberapa pakej bantuan besar seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang menelan belanja sebanyak RM250 bilion pada 27 Mac lalu sedikit sebanyak menenangkan emosi orang ramai khususnya golongan B40 dan M40 yang terkesan kerana PKP.
Tidak cukup itu, pengenalan moratorium juga telah menenangkan orang ramai yang bimbang jika masih perlu membayar beberapa komitmen seperti pinjaman peribadi, rumah dan kereta selama enam bulan walhal pada masa yang sama kehilangan sumber pendapatan bagi yang bekerja sendiri atau memperoleh pendapatan harian.
Secara keseluruhan, tempoh PKP tersebut berjaya ditempuhi dengan meyakinkan oleh Muhyiddin. Bukan sahaja peningkatan penularan Covid-19 berjaya dilengkuk dan diratakan, malah rakyat semakin yakin bahawa PN adalah kerajaan yang diperlukan walaupun tidak mendapat mandat rakyat dalam PRU pada 2018 lalu.
Tanpa perlu dinafikan, situasi ini sedikit sebanyak memang menyukarkan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha untuk menegakkan semula haknya dengan merampas mandat berkuasa yang dimiliki.
Ditambah pula, dalam kalangan PH, perseteruan antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir Mohamad telah meletakkan gabungan pembangkang ini pada kedudukan yang sukar. Rakyat menjadi jemu dan bosan dengan drama yang berterusan ini.
Dalam tempoh PKP yang masih belum berpenghujung dan melalui fasa baharu seperti PKP Bersyarat (PKPB) pada 4 Mei hingga 9 Jun serta PKP Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos lalu, rupa-rupanya nafsu berpolitik terus menguasai PN apabila bertindak merampas Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Mukhriz Mahathir.
Mukhriz meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah pada 17 Mei selepas kehilangan majoriti. Pada hari yang sama, Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor pula mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14.
Nafsu PN dan Barisan Nasional (BN) untuk menambah cengkaman kuasa diteruskan apabila pada 29 Julai lalu, bekas Ketua Menteri Sabah, Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk menjatuhkan Kerajaan Negeri pimpinan Shafie Apdal.
Rakyat dilihat semakin marah dengan keupayaan kerajaan Muhyiddin menangani penularan Covid-19.
Namun Shafie bertindak pantas apabila pada esoknya, beliau mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan memohon untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN). Tindakan ini sekaligus membawa kepada pemilihan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 26 September lalu.
Sepanjang tempoh kempen berlangsung, Covid-19 pula menunjukkan peningkatan gelombang kedua dan akhirnya, hanya seminggu selepas PRN Sabah, Malaysia mencatatkan rekod tinggi pada 3 Oktober lalu apabila sebanyak 317 kes dilaporkan.
Berbeza dengan gelombang pertama Covid-19 yang agak tenang ditangani oleh kerajaan. Kini, kerajaan Muhyiddin dan kabinetnya berhadapan serangan berterusan dalam rangkaian media sosial. Tiada lagi imej ‘abah’ yang menjadi pesona kepada rakyat.
Mengeruhkan keadaan
Di celah-celah kebimbangan rakyat, Muhyiddin pula dilaporkan hadir ke majlis Tan Sri Muhyiddin Yassin Charity Golf (TSMCG) yang berlangsung Lotus Desaru Beach Resort pada 1 dan 2 Oktober lalu.
Kerosakan imej kerajaan disambung pula dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba yang menyalahkan rakyat kononnya tidak patuh SOP Covid-19 sehingga meningkatkan kembali angka kes kepada tiga digit. Kementerian dibawah Adham Baba dengan dua timbalan menterinya memang dilihat tidak membantu memulihkan keadaan, sebaliknya lebih mengeruhkan keadaan.
Situasi ditambah buruk apabila Kementeri Pengajian Tinggi (KPT) mengeluarkan kenyataan yang mengarahkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) supaya menangguhkan pendaftaran pelajar baharu dan lama.
Kenyataan itu mengundang kecaman kerana telah menyusahkan kebanyakan pelajar dan keluarga yang telah berhabis wang ringgit untuk menguruskan perjalanan ke kampus.
Walaupun menteri, Dr Noraini Ahmad telah memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan saat akhir tetapi kelihatan sukar dimaafkan apabila reaksi keras yang diterima adalah desakan supaya beliau meletakkan jawatan.
Malangnya, berdasarkan tinjauan secara rambang, PH jugak tidak aktif secara menyeluruh untuk membantu para pelajar.
Setakat dilaporkan media dan di laman sosial, hanya ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik, ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta parti politik baharu, MUDA yang dilihat aktif menggerakkan dana membantu meringankan beban pelajar yang terkesan.
Tidak dinafikan ahli Parlimen PH menghulurkan sumbangan bagi membantu menangani masalah pelajar dan rakyat. Tetapi secara umumnya masih belum dilihat secara besar-besaran di seluruh negara. Jika peluang dan kesempatan ini gagal direbut dengan baik dan diuruskan dengan berkesan, rugilah.
Inilah peluang terbaik untuk PH kembali tampil secara drastik dan agresif sebagai kerajaan yang diharapkan untuk membela nasib rakyat bawahan.
Kerosakan imej kerajaan PN disambung dengan siri kenyataan menteri-menteri yang mengundang kecaman rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan