Ku Li gesa speaker benarkan usul tidak percaya dibahas

Sepucuk surat oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menggesa speaker Dewan Rakyat membenarkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibahaskan, telah didedahkan hari ini.

Pendedahan itu sehari selepas anggota Parlimen Gua Musang itu dipanggil mengadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Pertemuan itu diadakan selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim mengadap Sultan Abdullah bagi menunjukkan dokumen yang dikatakan bukti dia kini mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen.

Surat Razaleigh, atau lebih dikenali sebagai Ku Li, bertarikh 25 September 2020 - dua hari selepas Anwar mengadakan sidang media khas bagi mengumumkan majoriti yang dikatakan dimilikinya.

Dalam surat itu yang dilihat Malaysiakini, Ku Li berkata usul tidak percaya sangat penting bagi menentukan sama ada perdana menteri mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat atau tidak.

"Usul tidak percaya amat penting atas beberapa sebab keperlembagaan, termasuklah kesahihan kerajaan sekaran bawah pimpinan perdana menteri. Sekiranya usul itu disokong sebahagian besar hali Dewan Rakyat, akibat keperlembagaan yang menyusulnya haruslah dipersembahkan ke pengetahuan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya berpendapat usul tersebut seharusnya dikemukakan kepada Dewan Rakyat sebagai perkara penting yang memerlukan perhatian segera agar kerajaan kepimpinan perdana menteri kini dapat mengesahkan kewajarannya di Dewan Rakyat

"Tanpa kepercayaan oleh Dewan Rakyat, perdana menteri tidak berhak menuntut kesahihan terhadap jawatannya, dan pengelakan terhadap hakikat ini merupakan niat buruk dan penipuan terhadap Perlembagaan," katanya.

Dalam surat itu, Ku Li berkata, tiada peruntukan dalam Tatacara Tetap Dewan Rakyat yang boleh menghalang usul itu daripada dibentang sebagai "suatu keutamaan mendesak".

"Dengan hormatnya, saya mohon jaminan agar usul tidak percaya ini akan dibentang di Dewan Rakyat sebagai satu keutamaan pada sidang akan datang," katanya lagi.

Malaysiakini sedang mendapatkan maklum balas speaker, Azhar harun berkenaan perkara ini.

Azhar telah membalas surat tersebut pada 29 September, yang antara lain mengatakan Peraturan Mesyuarat menyatakan urusan kerajaan adalah keutamaan dalam sidang.

Dia juga berkata usul-usul persendirian yang dihantar ahli Parlimen, termasuk usul undi tidak percaya, disusun berdasarkan waktu ia dihantar.

Malah dia mengatakan susunan Aturan Mesyuarat lalu adalah dibuat speaker sebelumnya, iaitu Mohamad Ariff Yusof.

"Tugasan saya terikat dengan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat sedia ada.

"Mana-mana ahli Dewan Rakyat boleh memberi notis untuk membentangkan usul dan ia akan dipertimbangkan berdasarkan Peraturan Mesyuarat.

"Saya tiada masalah untuk Dewan mempertimbang usul persendirian jika telah selesai semua urusan kerajaan atau terdapat usul seorang menteri di bawah Peraturan 14 (2) untuk mendahulukan usul persendirian," katanya lagi.

Azhar berkata lagi, jika Ku Li mahu usul persendirian diberi keutamaan, dia perlu berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan.

Ancaman rasuah politik

Dalam surat itu, Ku Li turut mendakwa Muhyiddin telah menawarkan jawatan penasihat Petronas kepadanya, tetapi dia menolaknya.

"(Penolakan) kerana prihatin terhadap Perkara 48(1)(c) Perlembagaan Persekutuan berkaitan 'hilang kelayakan menjadi ahli parlimen' sekiranya 'memegang sesuatu jawatan berpendapatan'," katanya.

Katanya lagi, peruntukan itu untuk mencegah ahli Parlimen daripada membuat sokongan atau mengundi menyokong kerajaan kerana "penyogokan politik".

"Penyogokan politik menyebabkan demokrasi berperlembagaan kita menghadapi cabaran serius. Saya khuatir sama ada demokrasi berperlembagaan kita mengalami penyogokan politik ini dengan cara tersembunyi," katanya, sambil menyifatkan perkara itu sebagai "musuh dalam selimut".

Selepas penubuhannya Mac lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) dikritik kerana membuat pelbagai lantikan politik.

Pihak yang menyuarakan kritikan itu mendakwa ia satu percubaan Muhyiddin untuk mengukuhkan sokongannya - yang hanya memiliki majoriti dua kerusi di Dewan Rakyat.

Usul undi tidak percaya dibuat Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad sebelum sidang pertama tahun ini.

Bagaimanapun, sidang itu dipendekkan kepada sehari sahaja - iaitu pada 18 Mei - susulan penularan wabak Covid-19.

Usul itu juga tidak dibentangkan dalam sidang seterusny iaitu pada Julai lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan