DAP memilih berhati-hati kerana tidak mahu mengundang maklum balas negatif daripada penyokongnya.
Susulan langkah Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim yang mahu menukar kerajaan kerana mendakwa mempunyai sokongan mencukupi ahli Dewan Rakyat, DAP mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat'.
Apalagi, selepas Presiden Umno Zahid Hamidi petang tadi mengumumkan “gencatan politik” susulan Covid-19 dan menegaskan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Terdahulu, Zahid dan bekas perdana menteri Najib Razak dikaitkan dengan langkah Anwar itu.
Kelihatan DAP menggunakan strategi selamat iaitu hanya akan menyatakan pendirian apabila keadaan semakin jelas dan selepas mendapat maklum balas akar umbi penyokong parti.
Para ahli parlimen DAP yang bercakap kepada Malaysiakini mendedahkan tidak ada satu pendirian rasmi parti atau dalam Pakatan Harapan Plus mengenai langkah Anwar itu.
Ini kata mereka kerana tidak ada kejelasan mengenai jumlah ahli parlimen yang menyokong Anwar.
Ada juga yang percaya Umno mempergunakan Anwar untuk 'mendesak' Perdana Menteri Muhyiddin Yassin supaya memberikan lebih banyak 'kuasa' dan jawatan politik kepada pimpinan parti itu.
Bagaimanapun, ahli-ahli parlimen DAP itu berkata mereka mematuhi keputusan dewan presiden PH, yang mana 42 ahli parlimennya akan menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri jika beliau dapat mendapatkan sokongan yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Mesyuarat dalam talian bincang kebuntuan
Sumber parti memberitahu Malaysiakini bahawa para ahli parlimen DAP mengadakan pertemuan dalam talian bersama setiausaha agung parti Lim Guan Eng dan kata sepakat untuk tetap "berhati-hati dan waspada" buat masa ini.
Sebilangan ahli parlimen, katanya, percaya DAP perlu menyatakan sokongannya terhadap usaha rampasan kuasa Anwar manakala ada yang ragu-ragu dengan ahli parlimen BN yang menyokong presiden PKR itu.
Lebih jauh lagi, sumber berkata 90 peratus sokongan DAP ketika pilihan raya berasal daripada pengundi Cina dan oleh itu pandangan mereka tidak boleh diabaikan sekiranya DAP mahu berganding bahu dengan Umno.
“DAP mahukan kerajaan yang stabil dan berkekalan. Oleh kerana kami tidak tahu mengenai penyokong Anwar, kami memutuskan untuk berpegang teguh pada pendirian PH sebelum ini.
"Ada kemungkinan sebilangan penyokong Anwar mungkin bukan sekutu ideal kami,” jelasnya.
'Ini percakaran Bersatu dan Umno'
Begitu juga, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berkata krisis politik semasa berpunca dari konflik antara Umno dan Bersatu, jadi adalah baik bagi DAP untuk menjaga jaraknya.
"Kami akan nampak apa yang direncanakan oleh Umno. Konflik menjadi lebih teruk selepas pilihan raya negeri Sabah di mana Umno percaya mereka tidak diberi layanan yang adil. Apa kaitannya dengan DAP?
“Sudah tentu ada unsur Umno yang menggunakan Anwar untuk memberi tekanan kepada Bersatu. Sama ada Anwar mempunyai nombor, hanya dia dan partinya yang tahu,” tambahnya.
Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham berkata, tiga agenda telah dipersetujui ketika mesyuarat dalam talian minggu lalu.
Pertama katanya, DAP perlu menilai pandangan penyokongnya untuk bekerjasama dengan Umno, yang kedua mengawasi reaksi pihak lain dan potensi rampasan kuasa Anwar berjaya dan yang ketiga adalah terus waspada terhadap perkembangan politik sebelum membuat keputusan.
'Kami takkan gadai prinsip untuk kuasa'
Oleh kerana GPS menolak bergabung dengan Anwar, Ngeh berkata satu-satunya laluan yang ada untuk Pakatan Harapan adalah bekerja sama dengan Umno. Dia menggambarkan keadaan ini sebagai "bukan senario ideal."
Katanya, ini mungkin mengundang maklum balas buruk daripada penyokong DAP dan mempengaruhi prospek PH dalam PRU15.
Umno, katanya, juga mempunyai kebimbangan yang sama mengenai bagaimana reaksi penyokongnya untuk bekerjasama dengan DAP.
"Kami tahu penyokong kami tidak akan menyokong Najib (Razak) dan Ahmad Zahid (Hamidi) tetapi bagaimana dengan ahli parlimen Umno yang tidak korup," soalnya.
“Paling penting, rakyat tidak boleh berfikir bahawa kami menggadaikan prinsip untuk kuasa dan jawatan. Sekiranya rakyat merasa seperti itu, DAP pasti akan tetap berada di luar kerajaan.
"Sejak bertahun-tahun kami berada dalam pembangkang, DAP tidak akan menyokong kumpulan yang mahu menukar kerajaan atas dasar untuk mendapatkan kuasa semata-mata," tambah bekas speaker DUN Perak itu.
Pada kenyataan yang sama, Ngeh berkata jika parti politik lain bersedia mengetepikan perbezaan mereka dan bekerjasama untuk kebaikan rakyat, DAP juga dapat melakukan hal yang sama.
Sebelum ini, pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang berkata DAP bersedia untuk bekerjasama dengan Najib hanya sekiranya bekas perdana menteri itu mengakui kesalahannya dalam skandal 1MDB.
Menjelang pemilihan Sabah, Guan Eng di Kota Kinabalu menyatakan DAP tidak akan bekerjasama dengan Umno yang dipimpin oleh Zahid dan Najib.
Kemungkinan bubar parlimen
Sementara itu, DAP juga khuatir Muhyiddin akan meyakinkan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan parlimen bagi membolehkan untuk mengadakan pilihan raya sekiranya Anwar membuktikan bahawa dia mempunyai jumlah sokongan MP.
Bercakap dengan syarat enggan dinamakan, seorang ahli parlimen DAP berkata pertarungan sebenar Anwar adalah ketika undian untuk rang undang-undang (RUU) belanjawan 2021.
Ketika rang undang-undang tersebut dibahaskan di peringkat jawatankuasa, katanya, ahli parlimen PH dan anggota parlimen yang menyokong Anwar boleh memilih menentang rang undang-undang tersebut untuk menjatuhkan pentadbiran Muhyiddin.
"Sekiranya 'serangan hendap' ini berjaya, akan ada pilihan raya umum. Apa yang berlaku seterusnya untuk Malaysia?
"Muhyiddin lebih suka mengambil risiko dalam pilihan raya daripada melepaskan jawatan perdana menteri," jelasnya.
Ahli parlimen itu percaya bahawa pilihan raya umum pada saat ini tidak akan menguntungkan PH dan dapat memperburuk penularan wabak Covid-19 di Malaysia.
Selain itu, MP berkenaan juga menyatakan DAP sedang dalam dilema kerana penyokongnya tidak akan menerima parti yang bekerjasama dengan Umno atau gandingan yang disebut antara Dr Mahathir Mohamad-Tengku Razaleigh.
"DAP perlu lebih berhati-hati dan lebih baik 'tutup mulut' dalam kebuntuan semasa," tambah ahli parlimen itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan