DR ZULQARNAIN LUKMAN
Semalam, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah menolak permintaan Perdana Menteri (PM) untuk satu perisytiharan darurat. Ada yang berpendapat bahawa YDPA sebagai raja berperlembagaan wajib mengikuti nasihat PM atau Jemaah Menteri.
Alasan yang diberikan adalah kerana menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan menghendaki YDPA untuk mematuhi nasihat.
Walau bagaimanapun Perkara 40(2) Perlembagaan memberikan kuasa prerogatif (budi-bicara) kepada YDPA dalam beberapa hal seperti berikut:
“(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:
(a) melantik seorang Perdana Menteri;
(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;
(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu,
dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.
3) Jika dilihat dalam Perkara 40(2) itu ada tiga perkara yang jelas mengenai prerogatif YDPA namun ada satu perkara yang tidak jelas iaitu di akhir klausa (c) itu disebut “dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini”.
Hal ini yang menjadi perbahasan ahli Perlembagaan semenjak sekian lama. Antaranya adalah mengenai kuasa untuk perisytiharan darurat.
Ada pihak yang menyatakan bahawa YDPA terikat dengan permintaan atau nasihat PM. Ada yang mengatakan YDPA tidak terikat.
Jika kita lihat Perkara 150(1) Perlembagaan dinyatakan seperti berikut:
“(1) Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.”
Perkara 150(1) tidak menyebutkan perkataan nasihat secara jelas. Jadi, adakah YDPA boleh bertindak secara sendirian atau tiba-tiba untuk mengisytiharkan darurat?
Atau, satu tafsiran lain adalah YDPA setelah menerima nasihat boleh mempertimbangkan nasihat itu dan kemudiannya membuat keputusan sama ada untuk mengisytiharkan darurat atau menolak permintaan itu?
Ada pula yang mengatakan bahawa apabila PM pergi ke Kuantan untuk menghadap YDPA itu bukannya dianggap sebagai nasihat tetapi permintaan. Apabila ianya permintaan maka tidak wajib bagi YDPA untuk mengikutinya.
Pada pandangan saya, itu bukanlah permintaan kerana jika dilihat perkataan ‘permintaan’ itu wujud dalam Perkara 40(2)(b) iaitu ‘permintaan bagi membubarkan Parlimen’.
Justeru, tindakan PM berjumpa YDPA di Kuantan itu adalah satu nasihat kepada YDPA. Apatah lagi, kedatangan PM ke Kuantan itu adalah dengan penuh menteri-menteri kanan serta diikuti pegawai tinggi tentera dan Kementerian Kesihatan.
Berbalik isu asal tadi, adakah YDPA boleh menolak nasihat untuk perisytiharan darurat? Saya cenderung untuk mengatakan bahawa tindakan YDPA itu terjumlah kepada tafsiran Perkara (40)(2) di atas – “dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini”.
Maka, nasihat PM itu tidak mengikat YDPA dan YDPA boleh mempertimbangkannya.
Jika kita lihat sejarah pindaan Perlembagaan ini pun sebenarnya kuasa untuk perisytiharan darurat ini sudah berlaku tarik-menarik semenjak begitu lama lagi.
Beberapa pindaan telah dikemukakan dan ada pindaan yang dipinda atas pindaan dan pelbagai lagi isu.
Puncanya adalah siapakah yang boleh mengisytiharkan sesuatu darurat, adakah YDPA atau Perdana Menteri. Kuasa ini juga menjadi perbahasan ahli Parlimen sewaktu Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776) dibentangkan tempoh hari.
Jika melihat kepada tindakan PM itu seolah-olah nasihat undang-undang yang diberikan kepada PM adalah bahawa nasihat PM kepada YDPA itu adalah muktamad dan YDPA wajib mengikutinya.
Kita tidak tahu siapakah yang memberikan nasihat begitu kepada beliau. Mengikut sistem kerajaan yang layak menasihati PM adalah Peguam Negara. Begitu juga yang layak menasihati YDPA adalah Peguam Negara.
Soalnya jika dinasihati oleh orang yang sama bagaimanakah kita mendapat dua keputusan yang berbeza? Mengapakah pula YDPA kemudiannya menangguhkannya dan berbincang dengan Majlis Raja-Raja seterusnya menolak nasihat PM itu.
Ini menimbulkan satu perkembangan baharu dari sudut perlembagaan berkaitan nasihat PM itu tidak mengikat YDPA bagi isu perisytiharan darurat.
Ini juga bermakna sesiapa jua yang menasihati PM sama ada Peguam Negara atau Menteri Undang-Undang tidak memberikan nasihat yang tepat kepada PM menyebabkan PM kesipuan dalam hal ini.
Hari ini juga PM dikatakan berjumpa Kabinet untuk membincangkan kembali titah YDPA kepada PM. Maknanya, PM dan Kabinet pada hari Jumaat lepas (23 Oktober) langsung tidak membincangkan opysen penolakan YDPA terhadap permintaan untuk perisytiharan darurat.
Bagi Kabinet, YDPA wajib menerima nasihat PM. Malangnya bagi Kabinet, YDPA memilih untuk mendengar suara rakyat menolak perisytiharan darurat dan Kabinet amat terkejut sehingga memaksa mereka bermesyuarat pada hari ini.
Sebab itu dalam hal ini walaupun wujud pelbagai pandangan dan kes undang-undang duluan yang dirujuk tetapi dalam pentafsiran peruntukan Perlembagaan, matan atau wording Perlembagaan itu sendiri perlu diutamakan lebih daripada prinsip yang diputuskan dalam kes-kes duluan.
Saya sendiri cenderung untuk memakai pandangan bahawa YDPA tidak boleh sewenang-wenangnya untuk mengisytiharkan darurat tanpa terlebih dahulu merujuk atau mendapat nasihat daripada PM dan Jemaah Menteri.
Namun, pada masa yang sama nasihat PM dan Jemaah Menteri itu tidak mengikat YDPA bagi tujuan perisytiharan darurat. Ini termasuk dalam bidang prerogatif YDPA menurut Perkara 40(2).
Seperkara lagi, tindakan YDPA untuk terlebih dahulu berunding dengan Majlis Raja-Raja ini adalah satu amalan yang baik kerana perisytiharan darurat mempunyai impak yang besar ke atas negeri-negeri.
Jika darurat diisytiharkan maka pentadbiran negeri-negeri boleh diambilalih oleh Persekutuan. Sebab itu apabila YDPA berunding dengan Majlis Raja-Raja, ianya adalah amalan syura yang baik dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan (walaupun tidak disyaratkan oleh Perlembagaan).
Perkara 150(1) mewajibkan YDPA itu sendiri puas hati. Bagaimanakah cara YDPA itu puas hati terpulanglah kepada beliau.
Daulat Tuanku!
*DR ZULQARNAIN LUKMAN merupakan Pengerusi Biro Undang-Undang (KANUN) AMANAH Nasional.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan