Minderjeet Kaur dan Adam Abu Bakar
PETALING JAYA: Para menteri semalam menasihatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin jangan meletakkan jawatan, beberapa jam selepas Istana Negara menolak cadangan mengisytiharkan darurat daripada Putrajaya, kata beberapa sumber.
Presiden PPBM itu sekarang ini sedang mendapatkan sokongan daripada sekutunya dalam Perikatan Nasional (PN), seperti bertemu ketua-ketua parti dan anggota Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini.
Muhyiddin dan beberapa ahli Parlimen sekarang ini sedang bermesyuarat di Putrajaya bagi mendapatkan sokongan daripada PAS, MCA, dan MIC serta anggota Jemaah Menteri yang lain, kata orang dalam PN kepada FMT.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan setiausaha agungnya, Takiyuddin Hassan, dan Presiden MIC, S Vigneswaran, sudah menghadiri mesyuarat itu, tetapi belum diketahui adakah Presiden Umno, Zahid Hamidi, akan menyertainya.
Beberapa anggota Jemaah Menteri dilihat ke Pejabat Perdana Menteri pagi tadi.
Mereka adalah Noraini Ahmad (pengajian tinggi), Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri), Hishammuddin Hussein (luar negeri), Khairy Jamaluddin (sains, teknologi, dan inovasi) Reezal Merican Naina Merican (belia dan sukan), Shamsul Anuar Nasarah (tenaga dan sumnber asli), Radzi Jidin (pendidikan), dan Redzuan Md Yusof (Jabatan Perdana Menteri).
Orang dalam beritahu tidak semua ahli Parlimen Umno menyokong belanjawan dibentangkan pada 6 Nov kerana terdapat kumpulan-kumpulan dalam parti itu yang mahukan pilihan raya.
“Ada ahli Parlimen yang kata akan tolak belanjawan itu dan Muhyiddin cuba mendapatkan kerjasama semua parti gabungan untuk menyokong belanjawan itu,” katanya.
Sementara itu, ahli Parlimen Umno dijangka bertemu di Pusat Dagangan Dunia Putra untuk membincangkan peranan dalam gabungan pemerintah dan belanjawan.
Orang dalam Umno berkata beberapa ahli Parlimen parti itu mungkin boleh sokong belanjawan itu tetapi dengan beberapa syarat.
Beberapa ahli Parlimen Umno tidak berpuas hati dengan Muhyiddin kerana membiarkan 2 menteri kanan daripada PPBM mempengaruhinya untuk mencadangkan darurat, tambahnya.
“Sekiranya Muhyiddin mahu kami sokong belanjawan itu, beliau perlu singkir 2 menteri itu atau sekurang-kurangnya menghentikan mereka daripada menguasai keadaan,” katanya.
“Kami tak selesa dengan kuasa yang mereka ada,” katanya.
Bagaimanapun, orang dalam itu berkata kebanyakan ahli Parlimen Umno masih mahukan pilihan raya kilat.
Wakil rakyat yang mahu Muhyiddin bertahan juga mendekati ahli Parlimen DAP, PKR, dan Amanah untuk mendapatkan sokongan bagi belanjawan.
“Marilah bekerjasama untuk luluskan belanjawan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan