Adakah Belanjawan 2021 akan ditolak hari ini, Muhyiddin dijatuhkan?

MALAYSIA DATELINE

Hari ini adalah hari penentuan untuk dua persoalan: Sama ada Belanjawan 2021 dapat diluluskan di Parlimen dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal dijatuhkan sebagai Perdana Menteri dengan menjadi PM yang terpendek perkhidmatannya dalam sejarah.

Timbul juga persoalan, apakah akan ada bacaan kedua Belanjawan 2021 ini akan diundi di Dewan Rakyat hari ini memandangkan ada ia mungkin akan ditangguhkan ke minggu hadapan.

Inilah dua persoalan yang ditimbulkan oleh ahli Parlimen veteran DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya petang semalam menjelang pengundian ke atas Belanjawan 2021 yang dijadualkan hari ini.

Namun begitu, katanya, pelbagai pergerakan politik telah terserlah dengan isu pengundian Belanjawan 2021 ini, yang dapat dilihat daripada kenyataan bersama luar biasa daripada para menteri dan timbalan menteri yang mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Muhyiddin sehinggalah pilihan raya dapat dilaksanakan selepas wabak Covid-19.

Katanya, sesetengah orang mungkin akan tertanya, mengapakah perlu kenyataan luar biasa seperti ini dikeluarkan oleh para menteri dan timbalan menteri, sedangkan perkara ini tidak lain dan dan tidak bukan hanyalah satu bentuk rayuan kepada Parlimen untuk membolehkan mereka terus kekalkan jawatan itu.

“Tetapi, kenyataan ini terus menjadi bukti jelas yang tidak ada sesiapapun, termasuklah Muhyiddin, yang mempunyai keyakinan mereka ada majoriti ahli-ahli Parlimen,” kata ahli Parlimen Iskandar Puteri, Johor itu.

Bagi beliau, pemain utama kini adalah ahli-ahli Parlimen Umno, yang kini yang berpecah dua; antara mahu menumbangkan Muhyiddin dan yang mahu terus kekal komited dengan kerajaan Perikatan Nasional sehinggalah wabak Covid-19 ini cukup reda untuk membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan.

Hasilnya, kata beliau, puak Umno yang mahu menumbangkan kerajaan Muhyiddin ini telah menghantar utusan kepada beberapa orang yang merasakan mereka dapat menggunakan keadaan semasa politik ini untuk mendapatkan peluang untuk menjadi Perdana Menteri.

“Namun perkara ini hanyalah fantasi dan angan-angan, memandangkan kepimpinan Umno tidak mahu sesiapa pun menjadi Perdana Menteri melainkan dalam kalangan mereka sendiri.

“Apa yang menjadi taruhan pada hari ini bukan sahaja Belanjawan 2021 dan kerajaan pintu belakang Muhyiddin, tetapi juga visi masa hadapan negara kita,” kata beliau lagi dalam kenyataan itu.

Bagi beliau, sembilan bulan pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional ini telah menunjukkan perbezaan ketara dengan 22 bulan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

“kerajaan Perikatan Nasional dapat dilihat mundur ke arah masa lampau kleptokratik dan kakistokratik seperti Barisan Nasional, yang telah ditolak oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang bersejarah pada 9 Mei 2018,” katanya.

Antara kemundurannya adalah:-

– Kelulusan pindaan perlembagaan negeri Pahang yang mewujudkan lima kerusi ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak diundi, yang memundurkan kemajuan demokrasi di Malaysia;

– Pengembalian Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dengan peruntukan sebesar RM85.5 juta untuk meneruskan kerja kotor Jasa memomokkan DAP sebagai Anti-Melayu, Anti-Islam, dan Anti-Raja, dan meneruskan kerja-kerja “pembersihan” skandal rasuah dan penyalahgunaan kuasa, dan menyebar penipuan dan fitnah untuk mengapi-apikan kempen kebencian dan syak wasangka di antara kaum dan agama.

– Intimidasi polis terhadap kesatuan pelajar dan NGO, seperti yang dilakukan kepada presiden Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) dan para pemimpin pelajar yang lain;

– Peraturan baharu yang diperkenalkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mengekang penjualan arak di semua kedai runcit dan kedai serbaneka di Kuala Lumpur bermula pada 1 Oktober 2021;

– Pengangkatan politik toksik kebencian dan syak wasangka antara kaum dan agama menjadi ideologi kebangsaan; dan

– Pengunduran dalam perjuangan melawan rasuah di pejabat-pejabat awam.

“Saya menjangkakan kedudukan dan markah yang lebih teruk dalam Indeks Persepsi Rasuah 2021 Transparency International yang bakal diterbitkan dalam tempoh dua bulan lagi,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan