Pengusaha bas buat laporan polis terhadap Belanjawan 2021 kerajaan PN

B Nantha Kumar

Selepas mendakwa gagal menyuarakan tuntutan terhadap Belanjawan 2021 kepada beberapa kementerian, termasuk Jabatan Perdana Menter (JPM), NGO pengusaha bas persiaran bertindak melapor polis.

Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia) yang memfailkan laporan di balai polis IPD Putrajaya hari ini berkata belanjawan yang dibentangkan Jumaat lalu tidak memberi sebarang manfaat kepada pemilik bas persiaran.

Difahamkan ia laporan polis pertama terhadap Belanjawan 2021.

Presiden GAPP, Abdul Aziz Ismail Gani dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini mendakwa kerajaan enggan melayan tuntutan pihaknya sebelum ini untuk membantu lebih 6,800 pemilik bas persiaran seluruh negara yang hilang punca pendapatan sejak Februari akibat pandemik Covid-19.

"Sejak Mei 2020, kami telah pergi ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan beberapa kementerian lain menyerahkan surat memohon kerajaan prihatin arahkan syarikat kredit di bawah Akta Sewa Beli 1967 memberi moratorium atau pengecualian bayaran balik pinjaman berjadual kepada pegusaha bas.

"Tiada sebarang tindakan diambil terhadap surat-surat kami yang diserahkan di Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kerajaan dan Perumahan Tempatan (KPKT), Kementerian Sumber Manusia dan KPDNHEP.

"Sepatutnya, pihak kerajaan sebaiknya mengambil tindakan berbincang dengan pihak kami bagi menyelesaikan isu ini sebelum membuat Belanjawan 2021," kata Aziz dalam laporan tersebut.

Sebelum ini, GAPP Bas Malaysia telah membuat tiga tuntutan kepada kerajaan PN dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada 6 November yang lalu.

Antaranya, bank-bank yang diuruskan oleh kerajaan mengambil alih pinjaman kami daripada syarikat-syarikat kredit yang dianggarkan antara RM1.2 bilion hingga RM2.5 bilion.

Kedua, pengecualian cukai jalan dan permit bas serta 50 peratus diskaun insurans untuk semua bas persiaran selama dua tahun.

Ketiga, dana khas RM50 juta kepada pengusaha bas persiaran untuk melanjutkan kelangsungan kehidupan.

Aziz mendakwa bahawa Belanjawan 2021 anak tirikan pengusaha bas persiaran.

"Gabungan kami melihat Bajet 2021 sama sekali tidak membantu industri bas kecuali bas henti-henti.

"Kami rasakan kami dianaktirikan oleh kerajaan walaupun kami di sektor pelancongan telah menyumbangkan pendapatan kedua tertinggi di dalam negara.

"Pengecualian cukai pembelian bas baru yang ditawarkan tidak bermanfaat pada masa kini sedangkan kami sendiri tidak mampu membayar bayaran ansuran bas sedia ada," katanya lagi.

Tambahnya, GAPP Bas Malaysia akan membuat demonstrasi besar-besaran dalam masa terdekat sekiranya suara mereka gagal mendapat tumpuan kerajaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan