PKR mendakwa bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad cuba menghalang Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa.
Ini selepas Mahathir, yang merupakan bekas pengerusi Pakatan Harapan (PH), secara terbuka mendakwa Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak mampu memimpin negara ini yang sedang berhadapan krisis ekonomi.
Anwar merupakan pilihan pertama PH untuk menjadi perdana menteri sekiranya gabungan itu kembali berkuasa setelah ditumbangkan pada bulan Februari akibat tindakan anggota parlimen yang melompat parti.
"Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terkini menggambarkan bahawa beliau terdesak untuk dilihat relevan dalam arus politik perdana.
"Serangan beliau terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tidak berasas dan boleh disifatkan sebagai cubaan untuk mengkhianati serta menggagalkan usaha Pakatan Harapan (PH) mendapatkan semula kerajaan," kata ketua penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Perseteruan antara Mahathir dan Anwar menghalang pembangkang bersatu.
Mahathir dilantik kali kedua sebagai perdana menteri setelah PH memenangi pilihan raya umum 2018 dengan janji akan menyerahkan kuasa kepada Anwar.
Namun, Mahathir menunjukkan dia tidak berencana untuk mengumpulkan sokongan yang diperlukan untuk Anwar untuk mewujudkannya.
Berdasarkan rakaman audio yang bocor, Mahathir mengakui Bersatu enggan menerima Anwar namun meminta lebih banyak masa untuk mempertimbangkan perkara itu.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin kemudian mengatur langkah dengan menarik parti itu keluar daripada PH.
Mahathir yang kecewa tindak tanduk Muhyiddin bekerjasama dengan Umno kemudian meletak jawatan sebagai perdana menteri dan pengerusi Bersatu.
Bagaimanapun kerajaan pimpinan Muhyiddin kini dianggap rapuh dengan hanya memperoleh sokongan 113 ahli parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 orang di Dewan Rakyat.
Mahathir kini memimpin parti baru yang belum didaftarkan - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
Parti itu bukan sebahagian daripada PH tetapi mempunyai hubungan yang baik dengan DAP dan Amanah.
Shamsul berkata, ketidakstabilan politik yang berlaku pada hari ini disebabkan tindakan Mahathir tidak meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.
"Mahathir yang meletak jawatan tanpa sebarang perbincangan dengan pimpinan PH adalah punca kejatuhan kerajaan seterusnya memangkin rampasan kuasa secara khianat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan dukungan gerombolan pimpinan Bersatu," katanya.
Shamsul berkata, Mahathir perlu menghentikan tindakan beliau yang kini dilihat sebagai langkahmemecahbelahkan PH ketika Anwar menggembleng sokongan pelbagai pihak untuk mendapatkan kembali mandat rakyat yang dirampas pada PRU lalu.
"Tun Dr Mahathir sewajarnya bermuhasabah dan insaf bahawa punca segala ketidakstabilan politik yang berlaku dalam negara mutakhir ini berpunca dari tindakan beliau sendiri.
"Beliau seharusnya menunjukkan sikap sebagai seorang negarawan dan membantu usaha Datuk Seri Anwar dan PH untuk mengembalikan mandat rakyat dan bukan menggagalkannya ," kata Shamsul.
Mahathir, dalam wawancara dengan The Malaysian Insight, mendakwa Anwar bukan orang yang tepat untuk menjadi perdana menteri.
Ahli politik berusia 95 tahun itu membangkitkan keupayaan Anwar ketika menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan pada tahun 1997 apabila cuba mengikut saranan Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam menangani krisis ekonomi pada masa itu.
“Kita telah uji kebolehan beliau semasa saya jadi perdana menteri. Saya telah bercuti selama dua bulan (antara Mei dan Julai 1997) dan Anwar dilantik sebagai perdana menteri pada masa itu.
“Sebab itu saya terpaksa ambil alih kerajaan daripada menteri kewangan dan merancangkan pendekatan untuk memulih semula negara kita.
“Saya tidak tahu penilaian yang akan dibuat oleh rakyat tetapi yang jelasnya dalam krisis kewangan 1997/98 dia tidak berkeupayaan,” Mahathir dipetik berkata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan