Polis Kelantan buka kertas siasatan pameran 'artifak nabi'

 


Polis Kelantan membuka kertas siasatan berhubung kesahihan pameran artifak Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda yang dianjurkan selama dua minggu berakhir semalam.

Ia diadakan di Madrasah Ribat Al-Mustafa, Pulai Chondong, dekat Pasir Puteh.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata ia susulan polis menerima dua aduan mengenai laporan berkenaan yang dibuat di luar Kelantan yang meminta polis membuat siasatan tentang kesahihannya.

“Siasatan dibuka mengikut Seksyen 465 atau 471 Kanun Keseksaan dan ia juga disiasat oleh pihak berkuasa agama negeri,” katanya kepada pemberita selepas membuat pemantauan pematuhan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di lokasi sekatan jalan raya di Kampung Pacakan Pasir Puteh, hari ini.

Semalam Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Che Mohd Rahim Jusuh dilaporkan berkata pihaknya khuatir pameran itu boleh mengelirukan masyarakat Islam mengenai sejarah Rasulullah.

Program itu antara lain mempamerkan bahan didakwa rambut, janggut, darah, peluh dan tongkat milik Muhammad sedangkan kesahihannya belum disahkan oleh pihak berwajib.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata polis sudah bersedia menghadapi kemungkinan berlaku banjir berikutan Jabatan Meterologi Malaysia menjangkakan negeri-negeri di Pantai Timur akan dilanda hujan lebat bermula Nov hingga Dis ini.

"Seramai 1,500 anggota polis dan pegawai diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi fenomena itu termasuk memindahkan mereka yang terjejas banjir ke pusat pemindahan sementara," katanya.

Bagi memantapkan lagi kesiapsiagaan itu, Shafien berkata, dia akan mempengerusikan mesyuarat dengan ketua-ketua agensi berkaitan pada minggu depan.

-Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan