“Saya ingatkan kedua-dua helikopter tu sedang melakukan tinjauan udara dengan terbang bersama sebelum salah sebuah daripadanya melanggar ekor helikopter yang lain,” cerita seorang saksi di Taman Melawati, Ampang pagi tadi.
Puteri Nur Ilani Ismail, 25, berkata ketika itu dia sedang mencari daun herba untuk kegunaan memasak kira-kira 500 meter dari tempat salah sebuah helikopter berkenaan terhempas.
“Saya berada berdekatan Bulatan Bukit Mas kira-kira jam 11.30 pagi dan terdengar bunyi helikopter sedang terbang.
“Tiba-tiba saya terlihat helikopter berwarna merah melanggar bahagian ekor helikopter berwarna biru yang menyebabkan ia (ekor helikopter biru) patah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui berhampiran kawasan kejadian.
Katanya, helikopter biru itu kelihatan seakan-akan tidak mampu terbang secara sempurna selepas insiden tersebut, sebelum ia jatuh terhempas.
“Helikopter merah itu bagaimanapun dilihat turun secara perlahan-lahan di sebuah kawasan berdekatan,” katanya yang tinggal di kawasan berhampiran.
Seorang lagi saksi, Muhammad Taufik Rosli, 24, yang menetap di Jalan M4, Taman Melawati mengakui mendengar bunyi dentuman kuat kira-kira jam 11.40 pagi.
Bercerita lanjut, Muhammad Taufik berkata pada awalnya dia beranggapan dentuman kuat itu datang daripada kemalangan kereta yang berlaku di jalan utama Taman Melawati, namun terkejut apabila mendapati ia berpunca daripada sebuah helikopter yang jatuh terhempas.
“Laluan ini sememangnya adalah kawasan kemalangan kerana ia adalah jalan lurus. Jadi, saya ingat ada kemalangan kereta yang berlaku.
“Tetapi, apabila saya keluar dari rumah, saya lihat ada sebuah helikopter berwarna biru terhempas,” katanya.
Menurutnya, kawasan Taman Melawati sering kali menjadi tumpuan helikopter yang melakukan tinjauan udara terutama ketika terdapatnya operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki yang hilang atau jatuh di Bukit Tabur.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari tadi, dua lelaki disahkan maut dalam nahas melibatkan dua buah helikopter yang dipercayai bertembung di udara, sebelum sebuah daripadanya terhempas di Taman Melawati.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan