Umno akhirnya mati jika kerjasama dengan Bersatu

SHAHBUDIN HUSIN

Dengan Umno mempunyai keahlian seramai 3.4 juta, manakala Bersatu hanya sekitar 200,000 dan di sesetengah bahagian pula, jari tangan lebih banyak daripada jumlah cawangan yang dimiliki Bersatu, yang untung sebenarnya hanyalah parti serpihan Umno itu.

Selain terpaksa berkongsi dan memberi laluan banyak kerusi, jentera pilihanraya juga tentulah Bersatu akan banyak menumpang dengan Umno.

Akhirnya, bila menang dan melalui kerjasama itu, kedudukan sebagai kerajaan berjaya dikekalkan, siapa yang mendapat paling banyak kuasa?

Pemimpin parti mana yang kekal sebagai Perdana Menteri, menteri kanan dan mengetuai kementerian-kementerian yang penting?

Dalam hal ini, tidak saja bekerjasama dengan Bersatu merupakan pilihan yang merugikan Umno, malah jika Pas pun memilih untuk bekerjasama dengan Bersatu, ia juga merugikan mereka.

Dengan Pas mempunyai keahlian seramai 1 juta, pilihan yang terbaik untuk parti itu ialah bekerjasama dengan Umno yang bukan saja ada 3.4 juta ahli, bahkan memiliki jentera pilihanraya yang tersusun di segenap akar umbi.

Yang demikian, pilihan itu lebih memungkinkan kemenangan dapat dicapai dalam pilihanraya.

Sebaliknya, bekerjasama dengan Bersatu yang hanya ada kira-kira 200,000 ahli dan cawangan pun tidak sebanyak mana, ia adalah sesuatu yang merugikan buat Pas, sama seperti ruginya Umno bekerjasama dengan Bersatu.

Makna kata, baik buat Umno atau Pas, bekerjasama dengan Bersatu bukanlah pilihan yang wajar buat kedua-dua parti itu, kecuali jika sanggup terus diperkuda dan dibuli oleh Bersatu.

Yang terbaik ialah hanya Umno dan Pas mengekalkan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) dan meninggalkan Bersatu.

Walaupun ada pemimpin Umno yang berpendapat, kerjasama tiga parti Melayu – Umno, Pas dan Bersatu – adalah lebih baik dan memberi jaminan ke arah kemenangan dalam PRU15 akan datang, hakikat yang sukar dinafikan ialah ia juga akan menyumbang ke arah ketidaktentuan, malah mungkin perpecahan sesama sendiri.

Ini kerana berbahagi kerusi antara Umno dan Pas pun belum tentu boleh diselesaikan dengan baik dan aman, apatah lagi jika Bersatu dilibatkan untuk berkongsi sama.

Lebih-lebih lagi kerana Bersatu sedang menduduki kerusi Perdana Menteri dan bekerjasama dengan parti itu tentu saja akan membuatkan Umno terpaksa mengekalkan Muhyiddin, ini juga merupakan suatu kerugian buat Umno sebagai parti terbesar dan memiliki jumlah Ahli Parlimen paling ramai.

Apabila Muhyiddin kekal lagi, bermakna yang meriah dengan kuasa adalah Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin, bukannya pemimpin Umno.

Tidak mustahil, demi memastikan kuasa kekal berlegar di keliling Bersatu, pembulian terhadap Umno berterusan sepanjang masa.

Dalam erti kata lain, keinginan sesetengah pemimpin Umno untuk terus bekerjasama dengan Bersatu bukanlah untuk kepentingan dan masa depan Umno, tetapi lebih untuk memberi talian hayat kepada Bersatu.

Ia malah jauh sekali untuk memastikan Umno dapat kembali kerusi Perdana Menteri.

Dengan Bersatu terus diberi nyawa, yang mati akhirnya ialah Umno kerana Bersatu tidak mungkin mampu bernafas selesa selagi Umno ada berdiri dengan tegak di negara ini.

Umno dan Pas lebih baik mengekalkan kerjasama dalam Muafakat Nasional dengan meninggalkan Bersatu.

Natijahnya, bukan saja untuk menghadapi PRU15 akan datang, malah untuk keseluruhan masa depannya, Umno boleh dikira sudah tumbang sebelum berjuang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan