Faiz Zainudin
Belum ada cadangan nama baru untuk gandingan UMNO, PAS dan PPBM, selepas pihak lain mendaftarkan nama Muafakat Nasional dengan JPPM.
PETALING JAYA: Gandingan UMNO, PAS dan PPBM tidak dapat didaftarkan di bawah Muafakat Nasional (MN) kerana nama gabungan itu telah digunakan pihak lain, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, sudah ada pihak yang mendaftarkan nama MN dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).
“Apa pun, muafakat ini akan terus diperkasakan. MN bukan sekadar muafakat politik, sebaliknya adalah muafakat bagi penyatuan ummah,” kata beliau kepada FMT.
Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, belum ada cadangan nama baru untuk gandingan tiga parti itu.
“Oleh sebab itu, kita tidak boleh nak daftar. Kalau mahu daftar, kena buat perubahan nama. Tapi buat masa ini, belum ada cadangan nama lain,” katanya.
Oktober lalu, kepimpinan UMNO dan PAS mencapai persetujuan untuk mendaftarkan MN secara rasmi dengan JPPM.
Kepimpinan dua parti itu juga bersetuju untuk PPBM pimpinan Muhyiddin Yassin menyertai MN, namun hubungan UMNO-PPBM dikatakan tegang atas beberapa isu, termasuk pengagihan kerusi dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Bagaimanapun, PAS kerap menegaskan sebarang kerjasama dengan UMNO tidak boleh meminggirkan PPBM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan