Hadi jadi jurucakap Umno?

Majoriti pemimpin Umno mahu bergabung dengan PPBM, dakwa Hadi

Adam Abu Bakar

PETALING JAYA: Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa majoriti pemimpin Umno positif untuk bergabung dengan PPBM, walaupun tidak menafikan terdapat pertembungan politik antara kedua-dua parti itu khususnya di peringkat akar umbi.

Hadi berkata, beliau juga percaya perselisihan antara Umno dan PPBM akan dapat diselesaikan menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Kita berjaya mewujudkan satu piagam Muafakat Nasional (MN) antara PAS-Umno. Dalam piagam ini, kita bersetuju untuk memperkasakan kepimpinan Melayu-Islam dan mengajak parti-parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sertai MN.

“Malangnya, bila kita hendak ajak, terdapat pertembungan politik antara Umno dan PPBM. Bagaimanapun, Alhamdulillah majoriti pimpinan Umno positif. Cuma, nak selesaikan ia, Insya-Allah menjelang pilihan raya umum ke-15 kita dapat atasi,” katanya dalam forum bertajuk “Masa Depan Malaysia, Ke Mana Kita?”

Beliau berkata demikian ketika Umno bersetuju untuk membawa usul memutuskan hubungan dengan PPBM pada perhimpunan agung parti itu. Bagaimanapun, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan dalam kenyataan memaklumkan perhimpunan itu ditangguhkan.

Hadi berkata, kajian dilakukan parti Islam itu mendapati tidak ada parti dalam negara akan berjaya membentuk kerajaan peringkat persekutuan, tanpa perlu bergabung dengan parti lain.

Katanya, disebabkan itu parti Islam berkenaan akan terus berusaha menyatukan Umno dan PPBM bawah semangat gabungan Melayu-Islam dalam apa cara sekalipun, khususnya berdepan PRU15.

“Kita mempersediakan dua-dua gabungan ini bersatu. Hal ini kerana, pada kajian kita tidak ada parti yang boleh menang jika mereka sendiri pada pilihan raya umum akan datang, sebab itu kita utamakan gabungan parti orang Melayu-Islam dahulu.

“Ia supaya kepimpinan Islam itu dapat kita wujudkan dengan kuat. Kita (PAS) akan terus menegakkan MN dan Perikatan Nasional (PN) ini bersama-sama. Kita kuatkan MN dan perkasakan PN sekali,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan