Hidir Reduan Abdul Rashid
Mahkamah hari ini memberi amaran keras kepada bekas perdana menteri Najib Razak agar tidak menyerang saksi pendakwaan dan bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz di Facebook.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memberi amaran itu ketika perbicaraan kes rasuah RM2.28 bilion dana 1MDB hari ini.
Pada 5 Jan, pihak pendakwaan meminta mahkamah mengeluarkan amaran itu susulan hantaran Facebook Najib terhadap Zeti berkenaan dakwaan berkaitan 1MDB.
Ia susulan hantaran Facebook bertarikh 29 Dis lalu yang mengandungi dakwaan terhadap Zeti dan keluarganya berkaitan dana syarikat itu.
Dua hari kemudian, Zeti mengeluarkan kenyataan media bagi menyangkal dakwaan itu.
Dalam penghakimannya, Sequerah berkata sebarang kenyataan Zeti sebelumnya tidak mengabsahkan Najib untuk memuat naik hantaran tersebut.
"Tertuduh tak boleh buat kenyataan seolah-olah membuat perbicaraan di ruang awam.
"Tiada kenyataan boleh dikeluarkan berkenaan perbicaraan. Kenyataan tertuduh bersamaan dengan serangan terhadap saksi pendakwaan.
"Maka, mahkamah mengeluarkan amaran keras kepada tertuduh agar tidak mengulangi perbuatan itu demi menjaga kewibawaan perbicaraan," kata Sequerah kepada Najib yang berada di kandang tertuduh.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan