Pas tersepit antara ‘isteri sah’ dan ‘perempuan simpanan’

JAMZURI ARDANI

Kemahuan akar umbi Umno jelas rasanya. Mereka tidak mahu bersama PPBM. Inilah naratif yang dijaja oleh team Zahid/ Najib.

Tetapi, mereka juga tidak mahu bersama Anwar dan DAP. Inilah pula naratif yang dijaja oleh team Anuar Musa dan Hishamuddin.

Mereka hanya mahu kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional. Pas secara umumnya dilihat tidak mengancam Umno dari sudut pembahagian kerusi, kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Tetapi, ini tidak bermakna kerjasama dengan Pas adalah mudah terutama dalam soal agihan kerusi dan hubungan parti itu dalam PN.

PN adalah pertubuhan politik yang didaftarkan secara sah, manakala MN adalah pertubuhan yang tidak berdaftar.

Bagi Pas, PPBM ibarat isteri yang sah manakala Umno hanyalah ibarat perempuan simpanan sahaja.

Di Terengganu dan Kedah, adalah sukar untuk akar umbi Umno menyerahkan dominasi agihan kerusi kepada Pas.

Sekiranya Ummo dan PPBM benar-benar berkerat rotan, Pas terpaksa memilih satu antara dua. Situasi ini boleh membunuh Pas.

Pertama, naratif ‘kesatuan ummah’ yang dicanang oleh Pas tidak lagi relevan.

Kedua, pertembungan 3 penjuru di kawasan dominasi Melayu, terutama di pantai barat tidak akan memihak kepada Pas.

Ketiga, Pas akan sentiasa hidup di bawah bayangan Umno atau PPBM.

Sekiranya gagasan Gabungan Besar (Grand Coalition) berjaya direalisasikan di kalangan blok pembangkang dalam keadaan Umno, Pas, dan PPBM bertembung sesama sendiri, saya percaya mandat rakyat akan kekal bersama Pakatan Harapan dalam PRU15.

Gabungan besar ini mestilah didominasikan oleh Pakatan Harapan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan