Umno lawan Bersatu: Siapa akan ‘baham’ siapa?

BAHA M. ISA

Ketegangan antara Umno dan Bersatu adalah sesuatu yang tidak boleh ‘disorok di bawah karpet’. Sudah terang lagi bersuluh, hubungan kedua-dua parti itu berada pada tahap yang sangat meruncing.

Ada yang melihat krisis Umno-Bersatu ini tidak boleh diselamatkan lagi, seolah-olah retak menanti belah. Ada juga yang menjangkakan perbalahan itu akan berlarutan dan akan memuncak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Apa yang jelas, sebanyak 189 daripada 191 bahagian Umno dilaporkan menolak kerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15. Pemimpin kedua-dua parti juga dilihat saling berbalas kenyataan.

Ada yang menuduh satu pihak lagi ‘membeli’ atau ‘mencuri’ ahli mereka, ada yang menggesa pihak satu lagi memohon maaf dan menarik balik tuduhan.

Pertelingkahan ini pastinya memasuki episod baharu apabila dua ahli Parlimen Umno mengumumkan untuk menarik semula sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikepalai Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.

Pergeseran demi pergeseran kedua-dua parti ini dilihat tidak akan berhenti setakat ini, lebih-lebih lagi menjelang PRU-15.

Dalam keadaan ini, persoalan timbul, siapakah yang akan terbit sebagai parti Melayu paling dominan di negara ini?

Adakah Umno-Barisan Nasional (BN), yang lebih 60 tahun memegang kerajaan sebelum ini? Atau adakah Bersatu-PN, yang mana Perdana Menteri hari ini datangnya daripada parti tersebut.

Para pemerhati melihat, ketegangan yang semakin meruncing antara Umno dan Bersatu akhirnya boleh menyebabkan pertembungan pada PRU-15, dengan Umno yang lebih ‘established’ dilihat mempunyai peluang lebih tinggi untuk menang, lapor Malay Mail baru-baru ini.

Shazwan Mustafa Kamal dari Vriens & Partners berkata, salah satu parti akan akhirnya ‘digantikan’ (subsumed) oleh parti yang lain kerana ‘tiada ruang untuk dua peranan’ (no room for dual roles), dengan pihak yang kalah dijangka menyertai atau diserap oleh pihak yang menang.

“Tujuan utama (raison d’etre) Bersatu adalah untuk menggantikan Umno sebagai parti Melayu terkemuka (prominent) di Semenanjung, dan tujuan ini tidak berubah.

“Taktik pecah dan perintah Bersatu boleh berjaya sekiranya pengundian ditangguhkan lebih lama, kerana ia bertujuan untuk menarik pemimpin dan akar umbi Umno (Bersatu’s tactic of divide and conquer may work the longer polls are delayed, as it seeks to woo leaders and grassroots from Umno).

“Tetapi, akhirnya, Umno akan mencari jalan untuk bertahan. Ia masih mendapat banyak sokongan akar umbi organik dan merupakan jenama yang ‘dipercayai’ berbanding Bersatu.

“Dalam konteks survival, akan menjadi perkara yang sukar bagi kedua-dua parti untuk wujud bersama (coexist) pada jangka panjang – salah satu akhirnya akan menelan yang lain,” katanya kepada Malay Mail.

Sekiranya berlaku pertembungan pada PRU-15 antara kedua-dua parti, Shazwan berkata, Umno akan mempunyai kelebihan dari segi kemampuannya untuk mengatur dan menggerakkan sokongan akar umbi di lapangan, sementara Bersatu juga mungkin mempunyai beberapa kelebihan dari segi kemampuan untuk memberi ‘election goodies’.

Jelasnya, Umno mempunyai kelebihan secara keseluruhan buat masa ini- kekuatan akar umbi, ‘numbers’ dan juga pengalaman menempuhi masa krisis.

Kesimpulannya, jika kedua-dua Umno dan Bersatu bertanding menentang satu sama lain pada PRU-15, ianya pasti menjadi satu pertempuran menarik untuk dilihat di mana dua parti Melayu yang berpengalaman memimpin kerajaan bertanding antara satu sama lain.

Persoalan siapa akan lebih dominan ini hanya boleh terjawab menerusi keputusan pilihan raya kelak. Buat masa sekarang, rakyat perlu tunggu dan lihat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan