SITI NUR ZAWANI MISCON
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng mengkritik sikap Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Siti Zailah Mohd Yusoff yang seolah-olah memperlekeh isu kesihatan mental dalam satu program media partunya baru-baru ini.
Menerusi siaran langsung rancangan berkenaan, Moderator, Badzli Bakar dilihat berkali kali menggunakan perkataan ‘gila’ dan ‘bunuh diri’ yang kemudian disusuli gelak dari mereka.
Lim berkata, Siti Zailah perlu memohon maaf atas perbuatan tersebut lebih-lebih lagi apabila portfolio kementeriannya mengendalikan kes-kes yang mendorong kepada masalah kemurungan.
“Siti Zailah yang menjadi panel dalam forum tersebut tidak menegur perbuatan moderator itu, sebaliknya bersama-sama mentertawakan isu yang dibicarakan.
“Permohonan maaf wajar diberikan oleh mereka yang melakukan perbuatan ini.
“Sudah tiba masanya untuk kita hentikan stigma terhadap isu bunuh diri dan kemurungan. Janganlah berbicara tentang sesuatu perkara yang kita tidak mempunyai kearifan di dalamnya.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Siti Zailah telah menyertai program yang bertajuk “Kemurungan dan Bunuh Diri semasa PKP: Apa Solusi Islam?”.
Ketika sesi menjawab soalan orang ramai, moderator telah melabel mereka yang membuat komen kritikal sebagai pembenci (haters) yang mengalami kemurungan dan berpotensi mati bunuh diri jika komen mereka tidak dibacakan.
Perkara tersebut mengundang kecaman orang ramai setelah Siti Zailah juga dilihat tertawa dengan label tersebut.
Berikutan itu, Lim mengingatkan bahawa pakar-pakar perubatan sebenarnya sangat berhati-hati apabila mengulas tentang isu tersebut.
Beliau kemudian mempersoalkan apa usaha Siti Zailah untuk menghapuskan stigma masyarakat berkaitan masalah kemurungan
“Isu kesihatan mental merupakan subjek yang sangat-sangat sensitif, lebih-lebih lagi berkaitan isu bunuh diri dan kemurungan.
“Apakah tindakan saintifik yang dilakukan oleh Timbalan KPWKM untuk menggalakkan mereka tampil dan mendapatkan bantuan?,” soalnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan