Mahathir pengganas?

Mohd Mizan Aslam

Definisi pengganas sering menjadi perdebatan pelbagai pihak berkait keselamatan dan kepentingan tertentu. Sejak isu pengganas atau terroris menjadi tren baru di dunia ini, pelbagai entiti menafsirkan keganasan pada kaca mata yang mereka sendiri dan berbeza antara satu sama lain. Malah perbezaan tafsiran juga boleh berlaku di kalangan pengikut dan agensi dalam sesebuah negara. CIA dan FBI juga mempunyai tafsiran berbeza terhadap terroris dan kumpulan berkaitannya, malah Amerika Syarikat dan Malaysia juga memberikan tafsiran yang berbeza. Walaupun PBB telah memberikan satu definisi yang boleh dijadikan rujukan umum, akan tetapi ia bersifat subjektif. Kajian saya menunjukkan tidak kurang 1,000 definisi terroris diberikan oleh pelbagai negara dan entiti berdasarkan kepentingan masing-masing.

Perkataan terrorisme mula diperkenalkan pada kurun ke-18 masihi yang dinamakan terreur iaitu yang diambil dari dalam kamus istilah Perancis. Tahun 1794, Revolusi Perancis atau dikenali sebagai Reign of Terror atau Regime De La Terreur adalah merupakan titik tolak pengenalan istilah terrorisme moden. Tahun 1970 dan 80-an menjadikan terrorisme semakin popular dengan kejadian pengeboman oleh IRA dan Basque di United Kingdom terutamanya di ibukota London. Tahun 1990-an hingga millenium ditandai oleh gerakan Palestin dan Al-Qaeda yang menjadikan terrorisme sebagai alat untuk mencapai agenda politik mereka. Siri-siri pengeboman berani mati, dan serangan terroris semakin berkembang sejak 2000 hingga kini termasuklah dengan lahirnya ISIS dan kebangkitan white supremacy.

Kriteria terroris

Istilah terrorisme pada asalnya ditafsirkan atas tiga kriteria utama iaitu (1)bermotifkan politik, (2) menimbulkan ketakutan dan (3) mengakibatkan kemusnahan. Atas dasar inilah maka pertubuhan seperti IRA, PLO, AQ, ISIS, LTTE, Laska Kristus, KBB, ASG, Boko Haram, JI dan lain-lainnya dimasukkan ke dalam senarai kumpulan terroris. Kemudiannya daftar ini diperhalusi ke atas individu termasuklah Osama Laden, Abu Bakar Al-Baghdadi, Hambali, Umar Patek, Isnilon Hapilon, Azhari, Janjani, Danial San Diego, Asata Shakur dan ramai lagi yang dianggarkan berjumlah ribuan nama yang berada dalam daftar CIA, FBI dan negara-negara tertentu yang mempunyai senarai daftar nama mereka sendiri. Senarai terroris di Malaysia yang telah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri (KDN) pastinya berbeza dengan daftar yang ada di Indonesia mahupun Filipina apatah lagi Amerika Syarikat, begitu juga sebaliknya. Akan tetapi senarai nama ini boleh dipersetujui dengan mengangkatnya ke peringkat antarabangsa melalui kerjasama antara negara (G to G) dan senarai merah (Interpol).

Dari masa ke semasa, definisi terrorisme ini diperhalusi lagi hingga memasukkan pelbagai elemen lain seperti anti-semitism, hate-speech dan west-critic sebagai sebahagian daripada ancaman kepada keselamatan dunia. Senarai daftar ini akan ditambah baik dari masa ke semasa dan disebar luas serta dijadikan bahan rujukan kan oleh pelbagai entiti dunia. Antara yang termasuk dalam daftar terbaru ini adalah bekas perdana menteri Mahathir Mohammad. Alasan yang diambil kira dalam memasukkan Mahathir ke dalam daftar ini adalah siri-siri ucapan beliau yang mengkritik Israel dan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat. Malah reaksi Mahathir yang menyokong dan menggalakkan serangan berbentuk aksi terroris ke atas Perancis dianggap sebagai punca utama beliau dimasukkan dalam daftar terroris ini.

Data dari media sosial

Badan pemikir dan penarafan yang ditubuhkan pada September 2014 oleh Mark Wallace berpangkalan di New York dan mempunyai beberapa cawangan di Brussels dan Kesatuan Eropah, Counter-Extremism Project (CEP) pada 07 Januari 2021 yang lalu telah mengeluarkan senarai baru 20 ekstremis utama dunia termasuklah Mahathir yang diberi ranking ke-14. Mahathir dianggap sebagai individu paling merbahaya, terroris dan extremis yang boleh menggugat keamanan sejagat. CEP membuat penarafan ini berdasarkan ideologi extremis yang dimiliki oleh mana-mana individu tanpa mengira latar belakang agama dan etnik. Metodologi dan sumber data diperoleh secara elektronik melalui sosial media dan YouTube.

Mengetuai senarai terroris tersebut adalah Hassan Nasrallah, setiausaha agung Hezbollah yang menggerakkan serangan ke atas Israel. Seterusnya Amir Muhammad Sa’id Abdal Rahman, komander ISIS, Ismael Haniyah, pemimpin Hamas berada pada kedudukan ketiga. Beate Zchape, National Socialist Underground Organization, German pada kedudukan keempat. Yusuf Qaradawi pada kedudukan kelima. Stanis Anotolyevich dari Russian Imperial Movement pada kedudukan keenam. Ashin Wirathu, pimpinan ekstrem Buddha Myanmar. Jehad Sharwar-al-Shabab, Martin Sellner-Austria, Ahmad Hamidawi-Hezbollah, Adel Bary-Al-Qaeda, Umar Ubaidah-Al-Shabab, Anjem Chaudary-Bristish Imam, Mullah Fateh-Kurdish Iraq, Rinaldo Nazzaro-Russia White Supremacist, Simon Lindberg-Nordic Resistance Movement, Samantha Leiwaithe-London Bombing, Tooba Godal-ISIS dan David Myatt, former Neo-Nazi.

Apa yang perlu difahami di sini adalah subjektiviti dalam klasifikasi terroris dan ekstremis yang dibuat oleh mana-mana entiti di seluruh dunia. Sikap Mahathir yang acap kali menentang Barat dan anti-Semitisme yang dimilikinya adalah merupakan sesuatu yang luar biasa hingga pernah dianggap sebagai jurucakap bagi negara Islam. Akan tetapi reaksi Mahathir yang menggalakkan dan menyatakan bahawa umat Islam mempunyai hak untuk melakukan serangan ganas ke atas Perancis atau mana-mana negara berdaulat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ucapan tersebut telah dikategorikan sebagai boleh memberikan ancaman dan menggalakkan serangan terroris tanpa mengatakan bahawa Mahathir itu adalah seorang terroris. Malah sokongan Mahathir untuk kerajaan berdaulat Mindanao juga dipertikaikan oleh CEP sebagai salah satu punca kepada kegiatan terroris dan ekstremis di rantau Asia Tenggara.

Secara holistiknya, daftar yang dikeluarkan oleh CEP ini juga telah menyenaraikan beberapa figur bukan Islam termasuklah ekstremis Buddha dan Barat. Walau bagaimanapun, daftar ini masih boleh dipersoalkan apabila masih ramai ekstremis berhaluan kanan berpangkalan di Asia, Eropah dan Amerika tidak berada dalam senarai tersebut. Brenton Tarrant-insiden serangan di Christchurch, Henry Wolf-American Renaissance, Brendon Russel-Atomwaffen, Commander Jeff Schoep-National Socialist Movement, Wadwa Singh-Babbar Khalsa, Mohan Bhagwat-Rashtrya Swayamsevak, Kalora-Mujahidin Indonesia Timur, Trump - mantan Presiden Amerika Syarikat dan ramai lagi. Senarai ini akan diperbaiki setiap tahun dengan nama-nama baru yang akan melahirkan global stigma.

Apa yang jelasnya, sesiapa sahaja boleh dimasukkan dalam daftar ini jika berani menghentam Barat dan Israel terutamanya. Malah siri-siri ucapan yang lantang dan keras oleh Presiden Turki, Erdoggan juga memungkinkan beliau dimasukkan ke dalam senarai pengganas ini. Walaupun Mahathir dan nama-nama lain yang berada dalam daftar oleh CEP, tidak semestinya masuk ke dalam daftar CIA atau FBI ataupun mana-mana negara. Akan tetapi apa yang pastinya, daftar ini boleh dijadikan sebagai rujukan atau precedent untuk mengaitkan Mahathir sebagai seorang ekstremis dan terroris. Walau spa pun alasannya, tidak seharusnya ucapan yang menggalakkan keganasan ke atas mana-mana pihak dilakukan oleh sesiapa sahaja. Kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menyemarakkan rasa benci dan dendam hingga melahirkan tindakan keganasan.


MOHD MIZAN ASLAM (PhD) berkhidmat di Pusat Kajian Terrorisme dan Ekstremisme, Naif Arab University for Security Sciences di Riyadh, Arab Saudi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan