Polis bantu kanak-kanak penjual keropok jadi tumpuan di TikTok

Willie Jude

Tangkap layar video memaparkan dua anggota polis dari IPD Kota Kinabalu membantu seorang kanak-kanak penjual keropok.

KOTA KINABALU: Dua anggota polis dari IPD Kota Kinabalu membantu seorang kanak-kanak penjual keropok nampaknya tidak boleh terlepas daripada perhatian orang-ramai apabila aksi mereka dirakam dan tular di TikTok.

Video berdurasi 42 saat itu yang tular sejak semalam memaparkan dua peronda bermotosikal memberi nasihat kepada kanak-kanak berkenaan dan menghulurkan sumbangan ikhlas sebagai pendorong semangat.

Difahamkan, dua anggota berkenaan ketika meronda sekitar Jalan Api-Api Centre sekitar 3.40 petang ternampak kanak-kanak berkenaan sedang berjalan seorang diri.

Bimbang akan keadaannya, mereka memanggilnya untuk ‘disoal’. Kanak-kanak itu beritahu dia sedang menjaja keropok kerana perlu berdikari untuk membantu keluarga.

Selepas dibantu, kanak-kanak itu kemudian dinasihatkan supaya berhati-hati dan diminta terus pulang ke rumah demi keselamatannya.

“Ini yang seharusnya menjadi viral kerana ramai orang boleh belajar sesuatu yang baik lebih-lebih lagi pada masa kini ada benda yang tidak sepatutnya pula menjadi viral,” kata seorang pengguna Tik Tok, lovebleboy3.

Seorang lagi, Anik Mrhida, pula berkata, “Ada polis di luar sana yang mempunyai pemikiran sangat baik, saya sangat menghormati polis seperti ini”.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Habibi Majinji, mengesahkan kejadian tersebut, dan berkata polis akan membantu sesiapa saja selagi termampu di samping menjaga keselamatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan