ZAMZANI HUSIN
Percakaran antara Umno dan Bersatu semakin memuncak dan bukan hanya melibatkan antara ahli majlis tertinggi parti sahaja.
Terbaharu, Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan membuat serangan balas terhadap kenyataan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Menerusi hantaran di Facebook, Zahida mengingatkan Bersatu bahawa hidup mati Umno bukan berada di tangan parti serpihannya itu.
Ini gara-gara gesaan Fayhsal yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan supaya Umno akur bahawa parti itu bukan lagi menjadi kuasa besar dalam politik negara.
“Hidup mati Umno bukan di tangan kamu. Kamu boleh tanya pada rakyat dan lebih 3 juta ahli Umno, adakah parti ini sudah tidak relevan?
“Alhamdulillah, ‘pohon’ Umno masih kukuh dikuatkan oleh akar umbinya yang setia,” kata Zahida.
Tambahnya, Umno juga sudah biasa dengan serangan demi serangan pihak lawan.
“Parti keramat ini akan terus kuat, untuk terus memayungi rakyat dan negara.
“Kamu kata zaman Umno sudah berakhir. Ironinya, bos kamu dahulu Tun Mahathir (Mohamad) mengaku masih sayang Umno. Jadi, zaman siapa yang sudah berakhir?
“Kami sudah biasa dengan serangan demi serangan, tapi untuk melemahkan parti ini tidaklah mudah, tidak semudah ‘mencetak wang’,” tegasnya.
Untuk rekod, Umno dikatakan membuat keputusan untuk menamatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai Bersatu dan dianggotai Pas selepas mesyuarat di Janda Baik, Pahang pada 19 Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan