Titah Agong ‘mimpi ngeri’ buat Muhyiddin, halang kerajaan PN berkuasa penuh

FMT Reporters

PETALING JAYA: Titah Yang di-Pertuan Agong membenarkan persidangan Parlimen kembali diadakan dalam tempoh proklamasi darurat akan memberi kelegaan dan harapan agar amalan demokrasi berparlimen dapat disambung, sekali gus menghalang kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bertindak sewenang-wenang.

Bekas Ahli Parlimen Sri Gading Ab Aziz Kaprawi berkata, sejak proklamasi darurat dilaksanakan, belum ada mana-mana peruntukan bawah Akta Darurat diguna pakai bagi menangani wabak Covid-19.

Justeru katanya, rakyat melihat pelaksanaan darurat hanyalah “lesen” kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk berkuasa sepenuhnya.

“Sepanjang tempoh darurat dan PKP yang diwartakan oleh kerajaan awal tahun lalu jelas menampakkan kelemahan dan kepincangan dalam menentukan SOP sehinggalah kepada perubahan pendirian mengenai pembukaan sekolah yang akhirnya menyusahkan rakyat.

“Rakyat sendiri mempersoalkan logik kerajaan apabila sedikit demi sedikit kelonggaran diberikan terhadap SOP, tetapi masih mewartakan majoriti negeri dalam keadaan perintah kawalan pergerakan,” katanya dalam kenyataan.

Agong berpandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh proklamasi darurat, iaitu pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai olehnya atas nasihat perdana menteri.

Menurut Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat.

Aziz berkata, beliau percaya melalui sidang Parlimen segala tindakan dan keputusan kerajaan dalam menghadapi krisis dapat disemak oleh Ahli Parlimen supaya tidak berlaku perkara yang melibatkan kepentingan politik atau peribadi dalam keputusan yang diambil.

“Titah Agong bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat pada tarikh yang ditetapkan kelak amat di alu-alukan rakyat, terutama bagi memastikan sistem demokrasi berparlimen berjalan dengan sempurna.

“Hal ini amat penting dalam menghadapi tiga krisis utama yang melanda negara kita, iaitu krisis pandemik Covid-19, krisis ekonomi dan krisis kerajaan minoriti,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Mohd Puad Zarkashi mendakwa perkara paling ditakuti Muhyiddin dan PPBM adalah kebenaran sidang Parlimen dan Pilihan Raya Umum (PRU).

Katanya, sekiranya PPBM silap langkah, boleh memberi kesan kepada parti itu.

“Nak tanya Muhyiddin, semalam mana yang lebih sakit. Kena cucuk vaksin atau titah Agong bahawa Parlimen boleh bersidang.

“Tiba tiba angka Covid-19 mencanak naik 3545 kes,” katanya secara sinis di Facebooknya.

Puad berkata kehilangan Johor dan Perak di ketika PPBM amat berkuasa dalam kerajaan pusat menghiris hati pemimpin PPBM.

Katanya, PPBM memang runsing apabila 147 ketua Umno bahagian menolak kerjasama dengan PPBM.

“Itu bermakna Umno tetap bertanding di 16 kerusi lompat dari Umno ke PPBM,” katanya.

Puad berkata Muhyiddin juga belum pasti dapat mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh nanti.

“Maka apa yang tinggal untuk PPBM. Apa jaminan bukan Melayu akan mengundi PPBM?

“PPBM bukan parti akar umbi. Dr Mahathir Mohamad rancang jika Pakatan Harapan (PH) berkuasa, cawangan Umno automatik jadi cawangan PPBM.

“Sekarang apa jadi? Boleh tanya tak, berapa cawangan PPBM di 16 kerusi lompat. Contoh Larut dan Mersing. Saja tanya. Jangan saman pula,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan