NABIEH RAHMAT
Tular video maki hamun di jalan raya oleh seorang wanita dengan kerjaya sebagai pakar perunding (consultant specialist) merangkap seorang ketua jabatan di sebuah fakulti perubatan universiti awam.
Pensyarah dengan gelaran akademik ‘Prof Madya’ berpangkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA).
Sayangnya, tindakan spontan beliau yang mengamuk akibat dihon terlalu mengaibkan untuk ditonton apatah lagi beliau adalah seorang wanita muslimah yang bertudung. Siap tunjuk stetoskop sambil doakan orang lain kena Covid-19.
Prof, memandu di jalan raya ni memang ‘stressful.’ Dengan gaji bulanan yang berpuluh ribu itu, lebih baik Prof ambil pemandu peribadi saja. Anggaplah sebagai membantu marhaen mendapatkan pekerjaan ketika zaman pancaroba ni.
Prof pun akan lebih tenang menghadapi bunyi hon dan tidak perlu pening kepala sewaktu membuat ‘pusingan U.’ Jalan raya di kawasan hospital itu memang sesak sebab kurang tempat parkir.
Oh ya, anak-anak buah Prof memaklumkan bahawa Prof memang garang. Tidak tahulah ‘malignant’ atau tidak. Tapi kalau ada masalah mengawal amarah, sebaiknya Prof mendapatkan rawatan daripada doktor psikiatri.
Terutama dalam waktu pandemik Covid-19, tekanan makin besar. Risau juga kalau pesakit, pelajar dan keluarga Prof menjadi mangsa amukan.
Sebenarnya, Prof tentu lebih mahir mengenai reaksi tubuh dan hormon ketika marah. Neurotransmitter katekolamin seperti adrenalin dan noradrenalin akan memuncak-muncak untuk suatu reaksi ‘fight or flight’, lawan atau lari.
Kalau Prof melawan dengan orang yang lemah, mungkin akan mencederakannya dan berdepan tindakan undang-undang. Prof boleh didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. Hukumannya adalah penjara sehingga setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Sebaliknya, jika orang tersebut adalah samseng jalan raya atau kaki pukul, mungkin Prof pula yang jadi mangsa.
Ia boleh menimbulkan kesan traumatik yang berat kepada Prof sendiri. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah pemarah, dapat pula post-traumatic stress disorder (PTSD) atau gangguan stres pasca trauma.
Tentu kita tidak mahu orang bijak pandai mengalami tekanan perasaan, dipenjarakan atau menjadi mangsa kekerasan fizikal. Pandemik Covid-19 memang memberi kesan yang berat pada kebanyakan orang.
Ada yang mengalami depresi kerana terlalu banyak kerja. Ramai pula yang mengalami tekanan kerana hilang pekerjaan. Sebaiknya dapatkanlah bantuan jika kita perlukan sokongan. Sama-samalah #kitajagakita.
Bung Bih,
Lama tinggal di Jakarta mengajarkan erti sabar di jalan raya. Tenang Is Better.
*Tulisan dipetik dari Facebook NABIEH RAHMAT
Tiada ulasan:
Catat Ulasan