Duit tidak pernah tidur, ramai pemimpin Umno bakal diumpan Bersatu

SHAHBUDIN HUSIN

Hanya beberapa hari selepas Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis merangkap Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengumumkan tindakannya menolak keputusan Majlis Tertinggi Umno yang tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, sebaliknya akan terus bekerjasama dengan parti tersebut dalam PRU15 akan datang, habuan sebagai Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) pun jatuh ke ribaannya.

Hakikat ini dengan sendirinya menunjukkan Bersatu memang memerlukan watak-watak dalam Umno yang sedia jadi pemecah-belah, lalu kemudian akan diberikan habuan yang lumayan sebagai ganjaran.

Sekali gus juga ini memperlihatkan Bersatu kini beralih arah kepada usaha melemah dan memecah-belahkan Umno setelah cubaan mendapatkan sokongan parti itu melalui rundingan dan hubungan baik telah menemui kegagalan.

Sehingga ini, berdasarkan keputusan MT Umno, usul yang diluluskan majoriti bahagian-bahagian dan surat Ahmad Zahid Hamidi kepada Muhyiddin Yassin, Umno memang kekal dengan pendirian tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU akan datang.

Pendirian Umno itu tidak dinafikan adalah suatu tamparan dan merupakan halangan terbesar dalam usaha Muhyiddin mempertahankan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Tanpa kerjasama Umno dan tanpa kesediaan Umno berkongsi kerusi, walaupun andai kata terus disokong oleh Pas, Bersatu tidak cukup kekuatan untuk memastikan Muhyiddin berupaya mengekalkan lagi kedudukannya.

Pilihan terbaik untuk Muhyiddin kekal ialah hanya dengan adanya kerjasama daripada Umno, tetapi langkah tersebut jika dipersetujui bermakna Umno seperti meminum racun membunuh diri dan masa depannya sendiri.

Memandangkan usaha tersebut sudah dikira gagal, Bersatu kini nampaknya beralih kepada pendekatan melemah dan menghuru-harakan Umno pula.

Setakat ini, selain Shahidan, seorang lagi pemimpin yang berwatak duri dalam daging atau di luar berbaju Umno tetapi berhati Bersatu ialah Annuar Musa.

Semenjak dua menjak ini, dalam usahanya melawan arus semua keputusan Umno dan ingin memastikan parti itu akhirnya sedia mengalah untuk terus mengekal dan mempertahankan Muhyiddin, beliau seolah-olah sudah menjadi muncung meriam yang sedia melepaskan tembakan kepada kepimpinan partinya sendiri pada bila-bila masa.

Dengan Shahidan sudah diberikan ganjaran lumayan secara serta-merta susulan keberaniannya menolak keputusan MT Umno tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu, malah mengumumkan Umno Perlis terus akan bekerjasama bersama Bersatu dan Pas, ini sebenarnya adalah bahaya yang mula mengancam kedudukan Umno.

Tidak mustahil selepas ini akan muncul lagi beberapa pemimpin Umno bersuara senada dengan Shahidan, lalu kemudiannya mereka turut diberikan habuan serta ganjaran lumayan sepertinya juga.

Dalam dunia sekarang di mana nilai perjuangan bergantung kepada tebalnya poket, tidak mengejutkan kiranya apa yang dilakukan kepada Shahidan itu adalah umpan untuk Bersatu dan Muhyiddin memperolehi lebih banyak sokongan daripada pemimpin Umno melalui pintu belakang.

Kiranya ia berterusan berlaku dan sampai ke tahap tidak dapat dibendung lagi, bukan saja keputusan MT Umno akhirnya boleh diterbalikkan, malah kedudukan Ahmad Zahid sendiri bakal dipelantingkan.

Apa yang nyata di sini, sementara Umno menetapkan pendirian enggan bekerjasama dengan Bersatu, tetapi membiarkan dirinya terus kekal dalam kerajaan PN sehingga Parlimen dibubar, ia adalah suatu keputusan yang salah dan merbahaya.

Ia memberi ruang terbuka kepada Bersatu untuk mengumpan dan menawarkan habuan kepada pemimpin Umno yang barangkali ramai tengah lapar dan dahaga atau mahu kekal bergaya seperti sebelum ini.

Maka, untuk menyelamatkan diri dan bagi mengelakkan lebih ramai watak seperti Shahidan terus muncul, menikam dan menghuru-harakan parti, Umno sebaiknya harus keluar segera daripada kerajaan PN ini dengan serta-merta.

Selain duit tidak pernah tidur, mereka dalam Bersatu yang takut kehilangan kuasa juga tidak pernah tidur daripada berusaha dan mencari jalan bagi menyelamatkan diri masing-masing daripada tenggelam begitu saja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan