FAZLI RADZI
Parlimen Ampang dan Gombak dijangka bakal menjadi tumpuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk ‘mengajar’ dua bekas pemimpin PKR yang mengkhianati Pakatan Harapan (PH).
Sumber PKR memberitahu Nurul Izzah Anwar akan merebut Parlimen Ampang yang disandang Zuraida Kamaruddin sejak 2008 itu.
Pengguna Facebook Md Zulaimi Kazin berkata, puteri sulung kepada pasangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu juga dikatakan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.
“Saya tidak pasti sejauhmana kebenarannya tetapi dari maklumat dalaman PKR,” kata Zulaimi.
DUN itu disandang oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejak tiga penggal Pilihan Raya Umum (PRU) bermula PRU-12.
“Izzah di DUN sebagai backup Menteri Besar Selangor kalau beliau ‘tidak boleh’ dilantik sebagai menteri jika Anwar jadi Perdana Menteri supaya tiada berlaku kronisme,” katanya.
Sementara itu, bekas Naib Presiden AMANAH, Datuk Husam Musa bakal bertempur di Parlimen Gombak yang turut disandang Azmin.
Husam sejak September tahun lalu memberi tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk AMANAH di Kelantan, khasnya di Parlimen Kota Bharu yang beliau ketuai.
Azmin yang kini Ketua Penerangan dan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) mendapat majoriti 48,721 undi di Gombak pada PRU-14 atas tiket PKR.
Jumlah besar majoriti yang dikaut Azmin ketika itu atas muafakat gabungan pembangkang melalui PH serentak dengan imej kleptokrat yang terpalit pada Najib Razak sekali gus penyumbang besar tumbangnya BN.
Azmin dan Zuraida masing-masing bekas Timbalan Presiden PKR dan bekas Naib Presiden PKR dipecat dari jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta pada 24 Februari 2020.
Kedua-dua mereka dikatakan melakukan pengkhianatan terbuka dan dalang tumbangnya kerajaan PH menerusi Langkah Sheraton.
Selepas enam bulan Putrajaya dirampas oleh Perikatan Nasional, Azmin dan Zuraida dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan