Jadi bebas bukan pilihan untuk AMANAH

MOHD ARIF JUHANI

Parti Amanah Negara (AMANAH) tertubuh atas matlamat yang cukup sederhana tetapi berpijak kepada realiti; untuk memastikan koalisi pembangkang, Pakatan Rakyat yang hampir tumbang tiang serinya kembali dikukuhkan untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14.

Untuk permulaan, hakikat yang perlu difahami adalah kekalahan sebilangan pemimpin Pas dalam pemilihan Muktamar Tahunan Pas pada 2015 di Kuala Selangor bukan punca utama mereka memilih untuk keluar lalu menubuhkan AMANAH.

Namun, hasrat memastikan Pakatan Rakyat kekal sebagai gerakan pembangkang yang kuat tergendala tetapi berjaya diberikan nyawa baharu yang dikenali sebagai Pakatan Harapan.

Memang wujud pelbagai pandangan tentang punca tertubuhnya AMANAH. Segelintir mungkin tidak melihat gabungan pembangkang sebagai faktor utama.

Sebaliknya mereka lebih cenderung menganggap bahawa AMANAH ditubuhkan kerana ingin menjadi alternatif sebagai parti politik Islam yang lebih moderat berbanding pendekatan konservatif dan jumud yang dipilih Pas untuk mewarnai lanskap politik negara kontemporari.

Tetapi sukar sekali untuk berbicara tentang Pakatan Harapan tanpa menyebut tentang AMANAH sebagai salah satu komponen penting walaupun tidak dinafikan banyak pihak skeptikal ketika penubuhannya dari segi kemampuan untuk bertapak kukuh dan bernyawa panjang dalam politik negara.

Walaupun dipimpin dan dikuasai oleh pemimpin yang popular tetapi publisiti kepada AMANAH mungkin agak kurang kerana kemunculannya adalah daripada sebuah parti politik pembangkang.

Pembangkang daripada pembangkang. Apalah sangat yang boleh dijangkakan daripada parti politik seperti ini bukan?

Pada usia yang amat hijau dan belum diuji dalam medan pilihan raya umum, tentunya kegusaran lain adalah tentang kemampuan AMANAH untuk membina pengkalan politik atau kubu kuat di mana-mana negeri atau Parlimen.

Hanya apabila AMANAH bersama Pakatan Harapan berjaya menumbangkan BN pada pilihan raya umum yang lalu, maka publisiti dan perhatian kepada parti ini kembali meningkat.

Tambahan pula apabila beberapa pemimpinnya dilantik sebagai menteri.

Pada waktu itu, AMANAH masih merupakan sebuah parti yang kecil dalam gabungan parti pemerintah tetapi itu tidak pernah menjadi persoalan dan perbincangan dalam kalangan ahli parti. Belum timbul isu dibuli atau membuli.

Tanpa pengalaman mendalam tentang perjalanan kerajaan dan kementerian, menteri dan timbalan menteri daripada AMANAH berusaha untuk memastikan kepentingan rakyat diberikan perhatian utama. Perkara ini terlalu kerap dibincangkan dan tidak perlu lagi diulang.

Takdir Tuhan, selepas 22 bulan menjadi kerajaan, Pakatan Harapan yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu telah dilorongkan jalan mati.

Maka naiklah Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri yang baharu dengan koalisi baharu Perikatan Nasional (PN).

Selepas lebih setahun kembali sebagai pembangkang , Pakatan Harapan masih belum berjaya melakukan sebarang tindakan politik yang boleh menggugat pentadbiran Muhyiddin sehingga jatuh.

Sebaliknya, situasi salah-menyalah, tuding-menuding, sindir-menyindir dalam kalangan aktivis parti berlaku secara terbuka dalam media sosial.

Persepsi AMANAH dibuli dalam Pakatan Harapan sedikit sebanyak menggugat kerjasama di peringkat bawahan. Terbaharu, tindakan tiga ADUN AMANAH dari Johor menyertai PKR menyebabkan muncul kenyataan supaya AMANAH menyemak semula kerjasama dalam Pakatan Harapan.

Apa yang didesak ini samalah seperti yang dilakukan oleh Pas satu ketika dahulu ketika sudah jemu untuk bersahabat dengan DAP dalam Pakatan Rakyat. Walaupun helah bahasa digunakan kononnya semak semula bukan bererti mahu berpisah tetapi ramai maklum apakah penghujung yang diinginkan.

Gesaan mengkaji semula secara realitinya tidak pernah menjadi wadah kepada pemulihan dan penambahbaikan kepada ketempangan semasa yang berlaku.

Tidak cukup itu, muncul pula desakan kecil supaya AMANAH menjadi sebuah parti politik yang bebas tidak terikat. Samada ini ditulis oleh ahli AMANAH atau tidak tetapi tulisan yang berlegar-legar boleh mempengaruhi segelintir ahli untuk bersetuju.

Apatah lagi tahun depan merupakan tahun pemilihan AMANAH. Tentunya ada strategi terselindung yang cuba dilancarkan daripada gesaan ini.

Realitinya, menjadi bebas tidak akan pernah menjadi pilihan kepada AMANAH. Bagi memastikan pendekatan inklusif, progresif dan rahmah mampu terlaksana, AMANAH tidak akan mampu untuk menjadi bebas.

Pakatan Harapan adalah platform terbaik untuk AMANAH melaksanakan semua matlamat yang mahu dicapai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan