Selepas buat musuh dengan PH, Umno Perak pertegas perlu ramai kawan

MALAYSIA DATELINE

Pengerusi Umno Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, parti itu perlu meramaikan ‘sahabat’ dan mengurangkan lawan dalam menghadapi konflik politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak berkenaan berkata, kawan politik itu mestilah yang mempunyai prinsip setia dan ikhlas dalam menjalin apa juga bentuk kerjasama.

“Pada pendirian saya, dalam politik ini kita kena ramai kawan, kurang musuh, kawan yang ramai itu maknanya kena cari yang setia, ikhlas dan jujur.

“Siapa yang jujur, maka bolehlah jadi kawan, kalau tidak ikhlas kita tidak mahu,” ujarnya.

Saarani berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Executive Talk Menteri Besar Perak bersama Warga Pendidik daerah Kerian di Dewan Kerian Permai di Parit Buntar semalam.

Walau bagaimanapun, dia tidak mengulas lanjut siapa kawan dan lawan yang dimaksudkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kelmarin yang tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan Umno pada PRU15.

Kenyataan itu dibuat susulan pendirian Umno pada minggu lalu untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada pilihan raya akan datang.

Katanya lagi, kerjasama politik sama ada dengan parti komponen Pakatan Harapan (PH) atau tidak, itu bergantung kepada keikhlasan dan kejujuran mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan