Suara hati Ahmad Said akan diambil kira dalam hubungan Umno PAS?

BORHAN AHMAD

Ayun buai kokek

Kokek hulu golok

Hok dia lokek

Hok orang dia hendok

Di atas adalah lagu rakyat Terenganu yang saya hafal masa kecik-kecik dahulu. Ia menggambarkan sikap manusia.  Hak diri sendiri akan dipertahankan dan tidak mahu dikongsi dengan orang lain, padahal dalam masa yang sama dia mahu hak milik orang lain.

Dalam tulisan ini saya tidak mahu bercakap tentang masa kecil dahulu tetapi apa yang belaku masa sekarang.

Datuk Seri Ahmad Said adalah pemimpin Umno Terengganu. Beliau memimpin Umno negeri ketika menjadi pemerintah dan juga ketika semua orang lain tidak mahu lagi memimpin selepas Umno kalah di tangan Pas dalam PRU – 14 lalu.

Ketika semua pihak tidak sedia untuk menerima tanggungjawab selepas Datuk Seri Idris Jusoh ditolak oleh pihak istana, Ahmad Said sanggup menerima tanggungjawab itu walaupun berdepan tekanan dalaman Umno sendiri.

Begitu juga selepas Umno kehilangan kuasa di peringkat pusat dan negeri, Ahmad Said lah satu-satunya pemimpin Umno yang memimpin semula parti itu di Terengganu walaupun sudah tidak lagi menjadi pengerusi negeri beberapa tahun.

Musuh utama Umno Terengganu sejak dahulu adalah Pas. Apa yang tidak dikatakan pemimpin Pas terhadap pemimpin dan penyokong Umno khasnya Ahmad Said sendiri.

Ketika kemuncak krisis serangan Pas terhadap Umno, Ahmad Said adalah antara yang merasainya. Ketika itu, imam yang menyokong Umno tidak akan diiktiraf oleh penyokong Pas sebagai imam.

Mereka akan membuat saf dan jamaah solat lain walaupun dalam surau atau masjid yang sama.

Sembelihan orang Umno tidak akan dimakan oleh penyokong Pas. Masjid yang imamnya penyokong Umno akan dipulau oleh penyokong Pas. Mereka sanggup merentas kampung dan daerah untuk mencari masjid yang imamnya adalah penyokong dan pemimpin Pas ketika mahu bersolat Jumaat dan jamaah.

Apabila Umno dan Pas bersatu di dalam Perikatan Nasional (PN) di peringkat pusat, Ahmad Said dan penyokongnya di Terengganu tidak merasai penyatuan itu.

Pas tetap meletakkan Umno bersama pemimpin dan penyokongnya di serambi bukan di rumah induk.

Apabila kerajaan Pusat memberikan peruntukan untuk membantu pemimpin negeri melawan Covid-19, wakil rakyat Umno tidak menerima bantuan itu sebagaimana yang diterima wakil rakyat Pas di Terengganu.

Satu sen pun tak ada – itu dakwaan Pengerusi Umno Terengganu, Ahmad Said, berhubung wang peruntukan untuk wakil-wakil rakyat parti itu di negeri berkenaan untuk membantu rakyat semasa wabak Cobid-19, lapor Malaysiakini.

Menurut bekas menteri besar Terengganu itu, sudah ada tiga fasa bantuan disalurkan kerajaan negeri – yang dipimpin oleh Pas – setakat ini, namun Adun Umno belum menerimanya.

Beliau juga mendakwa jumlah peruntukan yang ditetapkan tidak adil di antara Adun Pas dan Umno walaupun kedua-dua parti itu membentuk Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN).

Kenapa. Kerana mereka wakil rakyat Umno sedangkan kerajaan negeri yang mengagihkan bantuan dari Pusat itu adalah kerajaan negeri Pas.

Padahal kerajaan PN adalah hasil gabungan dan kerjasama antara Umno, Pas dan Bersatu sertakan rakan-rakan PN yang lain.

Ketika kerajaan PN pusat mereka bersama, kerajaan negeri Terengganu tetap kerajaan Pas.

“Sehingga PRU 15, Kerajaan Negeri Terengganu memutuskan bahawa rumah yang sedia ada tak perlu dirobohkan untuk dibina baru.

“Kita hanya tambah serambi sahaja untuk wujudkan ruang rumah yang lebih luas,” kata Exco kerajaan negeri Dr Azman Ibrahim ketika beranalogi di mana kedudukan Umno dalam kerajaan negeri Terengganu.

Bukan peringkat negeri sahaja pemimpin dan wakil rakyat Umno tersisih, apabila Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dibentuk, pemimpin Umno peringkat kampung juga tersisih.

Ahmad Samsuri datang memujuk Ahmad Said selepas beliau mendedahkan layanan buruk kerajaan negeri Pas  kepada Umno namun masalah antara Umno dan Pas di Terengganu tidak selesai.

Bahkan, masjid yang selama ini dipimpin oleh pemimpin Umno tempatan juga mula diambilalih oleh pemimpin Pas terutama jawatan pengerusi dan AJK utama masjid.

Semua ini dirasai oleh Ahmad Said, dari Umno sebagai pemerintah negeri sehinggalah Umno kehilangan kuasa di peringkat negeri.

Pendek kata Ahmad Said adalah pemimpin Umno yang paling kenal hatibudi Pas dan pemimpinnya.

Sebab itu, apabila Umno Pusat mahu bekerjasama dengan Pas, Ahmad bertegas Umno Terengganu akan bertanding kesemua 32 kerusi DUN dan lapan kerusi Parlimen di Terengganu dalam pilihan raya umum akan datang.

Sikap Ahmad Said turut dikongsi oleh rakan-rakannya dari Kelantan. Mereka juga paling kenal hatibudi Pas.

Sebagaimana Terengganu, Umno Kelantan juga menolak kerjasama dengan Pas dalam pilihan raya umum akan datang ataupun dalam usaha menukar Kerajaan Persekutuan yang ada.

Bagi Umno Kelantan, Pas tidak pernah jujur dan ikhlas apabila mahu bekerjasama dengan mereka.

“Kalau Pas itu jujur dan ikhlas dengan kita, sepatutnya dia bagilah satu atau dua Exco kerajaan negeri Kelantan kepada kita,” kata Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Mohamad Zulkepli Omar dalam satu taklimat dalaman kepada penyokong Umno di Kelantan.

Kini Umno peringkat pusat telah mengambil sikap tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam PRU-15, rakan kongsi utama mereka dalam Perikatan Nasional.

Namun, Umno Pusat dilihat mahu mengekalkan kerjasama dengan Pas. Begitu juga sesetengah pemimpin Pas yang melihat secara overview tentang keperluan kerjasama ini.

Bekas Setiuasaha Agung dan juga Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali, Pas dan Umno perlu bekerjasama bersama Bersatu bagi mempastikan pertandingan dua penjuru sahaja dalam PRU akan datang.

“Jika pilihan raya tiga penjuru antara BN, PN dan PH, PH akan mempunyai kelebihan,” kata strategis Pas itu yang kini sudah terkesamping dari arus perdana Pas.

Kini Umno dalam dilema.

Jurucakap utama Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi ketika menyerang Bersatu kaw kaw, beliau masih berhati-hati dan masih berharap dapat bekerjasama dengan Pas.

Padahal beliau sedar, Pas sedang bermain dua kolam bagi memastikan mereka sentiasa berada di pihak yang menang dalam pilihan raya umum akan datang.

Geng Publika bekerjasama dengan Bersatu manakala Geng Ustaz pula berbaik-baik dengan Umno.

Umno kena buat keputusan…dan Ahmad Said adalah tokoh dalam parti itu yang perlu dirujuk Umno kerana beliaulah yang paling kenal hati budi Pas.

Tetapi apakah suara hati Ahmad Said akan diambil kira Umno, kita lihat dalam PRU-15 nanti.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan