‘Buang saja menteri, duta bertaraf menteri yang makan elaun buta’

FAZLI RADZI

Rata-rata rakyat Malaysia menyarankan agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) ‘membuang’ menteri dan timbalan menteri yang terlalu ramai tetapi tidak berguna., 

Kecaman warganet itu ekoran pengakuan Perdana Menteri bahawa negara sudah tidak mempunyai banyak wang.

Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, kerajaan terpaksa membelanjakan wang bagi membantu rakyat yang terkesan akibat Covid-19.

Sehubungan itu, ramai yang mengaitkan pembaziran banyak wang negara akibat saiz XXL

Kabinet Muhyiddin dengan 31 menteri dan 38 timbalan menteri iaitu 70 orang keseluruhannya termasuk Perdana Menteri.

Malah, barisan Kabinet yang diumum Muhyiddin pada 9 Mac 2020 menyaksikan ada kementerian ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditugaskan kepada seorang menteri sudah dipecahkan kepada tiga.

“Buang saja Menteri dan Duta bertaraf Menteri yang makan elaun buta. Membazir duit rakyat saja,” selar pengguna Facebook, Saili Ismail.

Hal sama ditegaskan Zaha Dzul yang berpendapat peruntukan untuk membantu rakyat berdepan Covid-19 tidak seberapa jika dibandingkan belanja bagi menampung gaji puluhan ribu ringgit bagi seorang menteri.

“Menteri terlalu ramai dengan gaji puluhan ribu tapi tidak buat kerja. Itu sebab duit kerajaan makin susut. Bantu rakyat dan menghadapi Covid-19 itu tidak seberapa pun.

“Kalau sudah tak mampu nak uruskan kewangan negara berhenti saja jadi PM dan kerajaan bagi kepada mereka yang mampu mentadbir serta menguruskan kewangan negara,” sarannya.

Kerja bermatian

Sementara itu, Chew Kok Ming menganggap rakyat biasa yang terpaksa berhempas pulas mengumpul pendapatan berbanding menteri PN yang dilihat tidak membawa ramai pelabur ke negara ini.

“Bukan ada menteri dah bawa ramai pelabur? Apa mereka buat di luar negara? Semua boleh pergi cuti di luar.

“Yang tidak pergi cuti, tidur di rumah dengan gaji buta. Kita rakyat Malaysia yang kerja mati-mati untuk cari rezeki keluarga,” luahnya.

Untuk rekod, PN dengan banyak jawatan perlu diberi kepada parti komponen kerajaan turut menyaksikan tiga menteri memegang portfolio hampir sama sekali gus lebih tinggi kos ditanggung Putrajaya.

Tidak hairanlah, pernah dilapor kerajaan PN dengan Kabinet bersaiz besar itu perlu membelanjakan hampir RM10 juta setahun berbanding zaman PH kira-kira RM7.4 juta setahun.

Angka itu belum mengambil kira pelbagai jenis elaun yang disediakan seperti keraian dan rumah.

Oleh sebab itu, warganet terutama pengguna Facebook ‘menyerang’ kerajaan PN yang lebih banyak membuang duit kepada menteri-menteri yang sebahagiannya tidak buat kerja yang sepatutnya.

“Kerajaan bayar gaji menteri tidak ada fungsi pun sudah lebih 70 orang. Ada yang tidur. Ada yang bercuti.

“Ada yang tidak buat apa-apa pun tapi taraf menteri terutama sekali parti Islam yang kenyang makan habis keliling. Takdirrr,” seloroh Daniel Akmal.

Turut berkongsikan pandangan, Athar Ali yang menulis, “Sudah tahu tak ada wang, mengapa lantik menteri-menteri Kabinet paling ramai dalam dunia?”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan