Abdullahjones
Malam itu kami semua berkumpul dirumah Mie Gondok. Mak Cik Yah yakni emak Mie Gondok, dan Mak Cik Badar - emak saudara Mie Gondok - balik kampung untuk menyambut hari raya.
Sehingga hari ini kami tidak tahu di mana kampung mereka. Setahu kami, Mak Cik Yah memang selamanya tinggal di kampung kami. Pak Hassan suami Mak Cik Yah memang selalu tidak ada di rumah. Biasanya beliau akan ke bandar untuk mencari kerja.
Beliau akan duduk di hadapan kedai Cold Storage bersama dengan beberapa orang lelaki menunggu lori datang dan mengambil upah memunggah barang turun dari lori tersebut.
Kadang-kadang juga ada datang orang mencari pekerja ke situ untuk kemudian di bawa ke mana-mana.
Hati kami menjadi sebak setiap kali teringat akan Pak Hassan. Orangnya pendiam dan rajin berkerja. Sesekali apabila ke bandar dan singgah di Cold Storage untuk membeli aiskrim kami akan terserempak dengan beliau yang selalu memegang tin susu yang berisi teh tarik.
Ia merupakan teh tarik 'bungkus ikat tepi' versi zaman itu.
Mak Cik Badar yang tidak pernah menikah sehingga akhir hayatnya tinggal bersama kakaknya, Mak Cik Yah. Mat Diah dan Shamsiah - abang dan kakak Mie Gondok - juga tidak ada di rumah pada malam itu.
Jadi rumah papan yang dibina di atas tanah berlembah itu menjadi 'milik' kami sepenuhnya.
Untuk ke rumah Mie Gondok kami perlu meniti kepingan papan yang diatur panjang dari rumah Tok Mah, guru mengaji kami. Rumah uzur Mak Cik Yah itu kami rasa disewa dengan Tok Mah yakni isteri Haji Jilah, imam pertama surau kampung kami.
Melopong tengok orang main
Kiri dan kanan serta bawah rumah Mak Cik Yah dipenuhi air bertakung. Kadang-kadang di situ tempat kami mencari ikan laga atau kami memanggilnya sebagai ikan sekilau - ikan yang hari ini orang panggil ikan betta.
Sebelum naik ke rumah Mak Cik Yah terdapat pohon gelenggang yang sentiasa dilanggan oleh Mok buat menggaras muka kami yang berpanau akibat gemar bermain panas dan membasuh muka semasa berpeluh.
Kami berkumpul di rumah Mie Gondok untuk berjudi selepas siangnya kami berhari raya. Itulah kali pertama kami bermain judi dengan bertaruh duit. Dan ia juga adalah kali terakhir kami melangkah ke dalam zulmat sedemikian rupa.
Setelah malam itu, kami tidak pernah lagi bertaruh sehingga hari ini.
Pa, Iji, Zubir, Sedi, Amir Hamzah, Kodik, Mezah, Alam Shah, Tulang dan Mie Gondok boleh bermain terup dalam banyak jenis tetapi kerana kami hanya pandai bermain ‘colek’ dan ‘dua puluh satu’ pada malam itu kami bersetuju untuk berjudi ‘dua puluh satu’.
"Lagi pun mana ada orang main judi pakai terup colek," kata Sedi, sahabat kami yang berhenti sekolah kerana bapanya, Pak Cik Yaakup terlupa untuk ke pejabat pendaftaran bagi mendapatkan kad pengenalan semasa Sedi berumur 12 tahun.
Sedi hari ini adalah tukang rumah yang mahir. Beliau juga adalah raja dam aji di Pantai Senok dekat Bachok, Kelantan.
Pada waktu lain apabila kawan-kawan mengisi waktu dengan bermain ‘400’ atau ‘gin rummy’ kami hanya melopong kerana tidak tahu apa yang mereka mainkan.
Kami berjudi dari awal malam hingga ke pagi. Malam itu yang menang ialah Iji yakni adik kepada Pa. Kami syak Iji melakukan cepat tangan dan berpakat dengan abangnya.
Gigit jari tengok duit
Mereka dua beradik memang terkenal sering berpakat dalam banyak hal. Dari zaman kami bermain guli, main getah dan juga main terup gambar, mereka berdua paling champion.
Mereka memiliki bertin-tin getah gelang dan terup bergambar. Emak mereka, Cikgu Senah selalu menggugut untuk mengoreng getah gelang dan terup gambar sebagai makanan mereka berdua.
Kami belajar mendengar muzik di rumah merekalah. Usop The Ironman dan Bakar The Breeze, abang-abang Pa dan Iji merupakan peminat tegar muzik.
Usop memperkenalkan Ebiet G Ade kepada kami sementara Bakar pula mengajar kami menghargai Santana.
Habis semua duit raya kami dikaut oleh Iji pada malam itu. Hampir RM30 keuntungan yang beliau perolehi malam itu dan kami semua mengigit jari melihat syiling 10 sen dan 20 sen yang kami kumpul hasil dari berjalan berhari raya siang tadi.
Duit syiling 20 sen itu semestinya datang dari rumah Cikgu Bakar, suami kepada Cikgu Konet, pemilik rumah paling besar di kampung kami.
Selain judi terup, judi tikam juga menjadi terkenal apabila datang bulan puasa dan hari raya. Entah kerana jahil atau pun memang mengambil ringan, ibu bapa pula seakan memberikan pelepasan kepada anak-anak mereka melakukan maksiat itu semasa datangnya bulan yang mulia seperti sekarang.
Esoknya Iji dan Pa berjoli sakan. Kami yang sudah kerugian itu pun duduk dalam penyesalan. Mungkin kerana kesian, Iji sudi membelikan sedikit jajan untuk semua orang semasa kami duduk di kedai Cina Jo, tempat kami melepak sambil mengurat anak dara Ismail Marzuki yang tiga atau empat orang itu.
Ismail menikah dengan perempuan Cina yang dibesarkan keluarga Melayu, jadi anaknya semua cantik-cantik. Antara kami bukan semuanya tidak kacak namun sehingga selesai alam remaja, tidak seorang pun daripada kami pernah ada apa-apa hubungan cinta dengan anak-anak Ismail yang putih melepak itu.
Melayu maju setapak lagi
Kami tidak tahu dari mana datangnya idea untuk berjudi pada malam raya di rumah Mie Gondok itu. Sebelum peristiwa tersebut, kami tidak pernah berkumpul untuk bermain judi.
Malah sebelum malam itu kami langsung tidak pernah berjudi. Yang biasa kami lakukan ialah berkumpul untuk menghisap rokok dan bermain bola sepak atau sepak takraw.
Hari ini bertaruh adalah perkara biasa. Setiap hari di radio ada yang bercerita bagaimana mahu menjadi kaya. Trading pula menjadi kata bual yang popular. Semua orang adalah trader.
Melabur dalam saham dan juga tukaran wang asing adalah pekerjaan yang diimpikan oleh banyak orang . Sambil duduk di kedai kopi mereka berjual beli mata wang asing. Bercakap mengenai foreign exchange.
Berbual fasal Libor dan Klibor macam bercakap fasal nasi kandar - sungguh fasih dan lancar. Sungguh internasional.
Ada yang kata halal dan ada yang kata haram. Lalu apabila ini berlaku orang ramai mengambil jalan tengah yakni jalan ‘halam’. Justeru mereka mencari lubang-lubang yang ada bagi menghalalkan apa yang mereka suka.
Golongan yang mempunyai ilmu untuk memberi kata putus dalam hal itu juga tidak mengambil berat membahaskan dengan mendalam akan kegiatan tersebut.
Mungkin kerana terlalu ramainya trader dan kaki kuda ini berbangsa Melayu, tidak hairanlah munculnya iklan judi raya seperti yang dikecohkan sehari dua ini.
Kalau pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an Melayu dihormati kerana berani mengiklankan arak, kini Melayu maju setapak lagi dengan mengiklankan judi secara terbuka.
Syabas bangsaku yang kucintai. Sibuklah lagi memperjuangkan songkok dan keris sambil anak bangsamu mengangkang jadi tahi judi.
Ismail Marzuki meninggal dunia selang sebulan daripada isterinya. Mak Cik Badar pula meninggal akibar kanser. Mie Gondok meninggal dalam jagaan kakaknya, Shamsiah yang meninggal dunia akibat kanser.
Shamsiah meninggal sebelum bersara dan jawatan terakhir beliau adalah pengarah Jabatan Kerja Raya di tempat kami.
Pa sekarang ini ada di Kemaman bertugas di Pusat Pemulihan Dadah manakala Iji pula pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Kodik menjadi kaya-raya sebagai pembekal kotak ikan dan kini dikenali sebagai Ali Botak. Adiknya Tulang akan menjadi rakan kongsinya.
Amir Hamzah sudah bergelar Datuk manakala adiknya, Alam Shah - setelah bersara sebagai jurutera - membuka sebuah kedai besar perkakasan. Alam Shah juga adalah abang long kawasan yang digeruni.
Mezah meninggal dunia dek racun. Bukan diracun orang tetapi akibat daripada selalu meracun rumpai tanpa menggunakan penutup mulut. Beliau meninggal dalam usia yang agak muda pada bulan puasa.
Rasanya Zubair sudah bersara dari UiTM Jengka. Kami sendiri masih tidak tentu arah begini - menulis dan melukis, menulis dan melukis dan disukai ramai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan