Zaid Ibrahim
Perdana Menteri berkata, dia tidak ada niat jahat dalam menggunakan darurat untuk mentadbir negara Malaysia. Saya percaya Perdana Menteri tidak ada niat jahat sedikit pun. Kebanyakan ketua negara dan Perdana Menteri di mana pun jarang sekali mengambil satu-satu tindakan dengan niat jahat (lainlah pemimpin gila seperti Pol Pot dan Hitler).
Malah, saya sendiri percaya Najib Razak tidak ada niat jahat dalam menubuh 1MDB dan SRC, cuma orang yang dia percayai seperti Jho Low, Nik Faisal, kakitangan AmBank, Bank Negara, Suboh dan sebagainya mungkin telah gagal menjalankan tugas mereka sehinggakan negara kerugian wang ringgit begitu banyak.
Di Abu Dhabi, saya percaya Raja dan Putera Mahkota tidak merancang untuk menipu syarikat pelaburan negara tersebut, IPIC dan Aabar Investments, sehingga rugi beratus juta dolar dengan penglibatan Abu Dhabi dengan 1MDB. Di sana jelas yang menipu dan penyangak sebenar ialah dua pegawai kanan kerajaan (Kobayashi dan Badawy) yang mencuri wang kerajaan Abu Dhabi. Malangnya di Malaysia, Jho Low, Nik Faisal dan rakan-rakan tidak dapat “dijumpai”.
Balik kepada niat Perdana Menteri, yang penting bukan sahaja niat, tetapi kesan daripada tindakan seseorang Perdana Menteri. Bila Mugabe menghalau dan merampas harta orang kulit putih di Zimbabwe, dia tidak berniat jahat. Dia mahu rakyatnya yang berkulit hitam dapat sebahagian dari harta negara. Tetapi malangnya kesan dari tindakan beliau itu, pelabur lari dan ekonomi hancur sehingga Zimbabwe jadi bankrap.
Begitulah terjadi kepada Stalin, dia bukan ada niat jahat untuk menjadikan rakyat Rusia lapar sehingga berjuta mati melalui dasar pertaniannya. Stalin hanya memaksa semua petani menjual hasil tanaman mereka kepada ‘Koop Kerajaan’ dan tidak di pasar (open market). Kesannya kerana rasuah dan salah guna kuasa semua makanan dihantar ke Moscow dan dijual untuk mengkayakan jentera perang kerajaan. Rakyat Ukraine dan lain-lain mati kebuluran kerana tidak ada makanan yang cukup.
Orang seperti saya yang tidak setuju dengan pelaksanaan darurat juga tidak ada niat jahat bila kita mengkritik. Kita bimbang terhadap kesan bila negara ditadbir dengan cara darurat selalunya banyak kesan negatif akan berlaku. Negara akan rosak dan demokrasi akan luput. Tanpa penglibatan semua pihak, Covid-19 akan jadi lebih sukar untuk dikawal, rasuah, dan salah guna kuasa akan bermaharajalela.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan