'Saya hanya ikut apa ditetapkan' - Pelakon iklan judi

Syafil Syazwan Jefri

Pelakon iklan, dikenali sebagai Saiful.

Pelakon iklan, dikenali sebagai Saiful.

Kuala Lumpur: Pelakon iklan dikenali sebagai Saiful yang terbabit dalam iklan judi dalam talian menjelaskan dia pada awalnya ditawarkan untuk membintangi video muzik lagu hari raya.

Bagaimanapun, dia bersama lima rakan lain yang turut membintangi iklan itu mula berasa sangsi apabila diminta menyanyi mengikut lirik disediakan.  

"Ini pertama kali saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam video muzik. Pada peringkat awal, saya terima tawaran untuk membintangi video muzik hari raya. 

"Ada benda yang tak jelas di situ kerana sebelum saya masuk ke lokasi penggambaran pada 13 Mac, saya difahamkan bahawa saya adalah watak sampingan. Namun, pengarah sendiri datang berjumpa saya dan maklumkan bahawa saya watak utama.

"Ketika di lokasi, saya sudah selesaikan 70 peratus babak saya. Kami kemudiannya diminta menyanyi lagu dan diberi lirik. Tapi, liriknya ditulis, diletak di sebelah kamera dan kami hanya 'lip sync'. Apabila sudah bermula, kami rasa ada perkara yang tak kena dan akan beri impak kepada negara kita.

"Kami cuba menjadi profesional. Takkanlah sudah 70 peratus proses berjalan, kami nak hentikan pihak produksi. Jadi, kami 'follow the flow'," katanya.

Saiful menerusi video yang disiarkan dalam sebuah portal berita turut meminta maat atas kekhilafan yang berlaku.

"Paling teruk adalah, apabila kami diminta menyebut nama jenama itu dan mengucapkan ucapan selamat hari raya. Kami berasa sangat tak puas hati dan sangat teruk.

"Saya rasa sangat bersalah. Saya nak minta maaf sebab tak meneliti tawaran itu. Ini adalah kesilapan terbesar saya.

"Saya tak ada tanda tangan apa-apa kontrak. Saya terima tawaran ini kerana dimaklumkan sebagai video muzik.

"Pihak polis sedang mengesan pelakon dan produksi untuk menyiasat mengenai perkara ini. Saya dan rakan-rakan saya ingin tampil ke hadapan dan ingin memberi penjelasan mengenai perkara ini," katanya.

Iklan hari raya syarikat perjudian itu dilihat sebagai satu bentuk penghinaan terhadap umat Islam kerana perayaan adalah hari kemenangan buat umat Islam selepas menyambut bulan Ramadan.

Isu itu menjadi bualan ramai di pelbagai platform media sosial dan mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk penggiat seni.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan