FMT Reporters
PETALING JAYA: Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Lokman Noor Adam, bebas dengan jaminan polis selepas ditahan semalam mengikut Ordinan Darurat.
Lokman menerusi siaran langsung di Facebook berkata, niat kerajaan untuk membuatkannya ditahan reman selama empat hari gagal selepas peguamnya berjaya meyakinkan pendaftar mahkamah supaya hanya membenarkan penahanannya selama satu hari saja.
“Saya telah dibebaskan dengan jaminan polis, hari ini saya memberitahu usaha kerajaan Muhyiddin untuk membuat saya tidur dalam lokap malam raya dan menyambut hari raya di dalam lokap Dang Wangi telah gagal.
“Alhamdulillah peguam saya telah membuat hujahan pembelaan yang cukup baik. Beliau berjaya meyakinkan pendaftar mahkamah hanya mereman saya satu hari,” katanya di Facebook hari ini.
Semalam, Lokman mengesahkan ditahan malam tadi untuk disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, susulan video siaran langsung di Facebook mendakwa beliau menyatakan kerajaan membawa masuk pendatang dari India.
Bekas ahli MKT Umno itu bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai tuduhan palsu yang berunsur niat jahat.
“Saya ditahan kerana satu video ‘live’ saya. Saya telah keluarkan satu kenyataan, tetapi malangnya niat jahat kerajaan telah membuat tuduhan palsu ke atas saya,” ujarnya.
Bulan lalu, Lokman menjadi ahli politik pertama ditahan polis di bawah Ordinan Darurat.
Beliau ditahan bagi memberikan keterangan berhubung kenyataannya mengenai kematian pegawai polis, Shariman Saidin pada 3 April lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan