GAZA: Wakil pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Timur Tengah semalam, memberi amaran mengenai "perang habis-habisan" kecuali jika ada "gencatan senjata segera", selepas pengeboman Israel di Semenanjung Gaza menyaksikan peningkatan dramatik jumlah kematian rakyat Palestin.
Letupan kuat berterusan sepanjang hari ketika Israel memusnahkan sasaran Hamas dan pasukan tentera di Gaza pula bertindak balas dengan melancarkan ratusan roket jarak jauh ke wilayah Israel.
Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 56 orang terbunuh setakat ini, termasuk 14 kanak-kanak, lima wanita dan seorang lelaki warga emas, manakala lebih 335 orang cedera, lapor agensi berita Arab News.
Dalam satu kenyataan, penyelaras khas PBB untuk proses perdamaian Timur Tengah, Tor Wennesland berkata: "Letakkan senjata dengan segera. Kita sedang menuju perang habis-habisan. Pemimpin di semua pihak mesti bertanggungjawab untuk meredakan situasi ini.
"Kos perang di Gaza sangat dahsyat dan dibayar orang biasa. PBB bekerjasama dengan semua pihak untuk memulihkan ketenangan. Hentikan keganasan sekarang. "
Laporan Palestin dan Israel memaklumkan, usaha sedang dilakukan Mesir, PBB dan sejumlah negara lain untuk memulihkan keamanan dan kembali kepada perjanjian gencatan senjata.
Pertumpahan darah itu tercetus selepas rusuhan hujung minggu lalu di perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, yang suci bagi umat Islam dan Yahudi.
Tindakan balas tentera meningkat sejak beberapa hari lalu, yang mendorong permintaan antarabangsa untuk menghentikan keganasan.
Semalam, Israel mensasarkan sejumlah bangunan dan rumah pemerintah Hamas, kereta persendirian, plot pertanian dan tempat latihan ketenteraan milik gerakan itu, dan Jihad Islam juga menjadi sasaran serangan. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan