Siapa pilihan Mahiaddin, MAHB atau WCT?

A KADIR JASIN

1. Dalam kita memberi perhatian kepada pergolakan di Palestin, jangan lupa atau terlepas pandang perkembangan di dalam negara kita sendiri, khususnya percubaan taikon Desmond Lim Siew Choon meluaskan cengkamannya ke atas Lapang Terbang Sultan Abdul Aziz Shah @ Subang Skypark.

2. Tauke-tauke besar tahu kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN) semakin hari semakin terdesak di segi kewangan dan sanggup menjual harta negara kalau kena harganya dan manis gula-gulanya.

3. Perdana Menteri, Mahiaddin Md. Yasin @ Muhyiddin rasanya tidak peduli lagi apa yang rakyat jelata kata sebab dia sudah tahu yang dia tidak disukai dan tidak dihormati ramai. Jadi apa yang hendak dipedulikan lagi mengenai integriti dan populariti.

4. Apatah lagi dia dikepung dan diasak oleh “warlords” yang nampaknya langsung tidak peduli apa yang rakyat jelata kata seperti Mohamed Azmin Ali, Hamzah Zainuddin dan Abdul Hadi Awang.

5. Demi survival dia akan buat apa saja untuk menang pilihan raya umum akan datang sebab kekalahan bererti dia dan konco-konconya akan disiasat dan mungkin dihadapkan ke mahkamah atas pelbagai tuduhan.

6. Desmond Lim tahu yang kerajaan tersepit dan dia ada cara untuk mengambil keselamatan seperti yang dia lakukan sejak zamam pemerintahan Dr Mahathir Mohamad lagi. Kita kena tahu yang Desmond Lim ini sangat licik sehingga membolehkannya selamat dan maju tidak kira parti mana memerintah dan siapa jadi Perdana Menteri.

7. Subang Skypark adalah antara lapangan terbang yang dikendalikan oleh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB). MAHB ini adalah sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lebih 60 peratus sahamnya dimiliki bersama oleh Khazanah, KWSP, KWAP dan PNB.

8. MAHB telah kemukakan cadangan pembangunan semula Skypark tiga tahun lalu tanpa dilayan oleh kerajaan. WCT Holdings Bhd yang dikuasai oleh Desmond Lim baru saja kemukakan cadangan kepada kerajaan bulan lalu (April). Lagipun pada bulan lalu juga WCE ditawarkan kontrak rundingan terus bernilai RM301 juta bagi membina segmen terakhir Lebuhraya Ekspres Pantai Barat. Apa istimewanya WCT ini?

9. Cerita Desmond Lim ini macam Belanda minta tanah. Konsesi dia sekarang hanya ke atas ruang perniagaan. Dalam cadangan baru, dia minta diperluaskan bagi merangkumi keseluruhan Lapangan Terbang Subang seluas 1,200 ekar untuk selama 71 tahun hingga 2092.

10. Alasan yang tersurat hendak jadikan Subang lapangan terbang bandaraya atau “city airport” tapi yang tersirat adalah tanah seluas 1,200 ekar atau dua setengah kali lebih luas daripada Pangkalan TUDM Sungai Besi yang diswastakan kepada Lim Kang Hoo untuk mendirikan Bandar Malaysia. Desmond Lim ini bukan pakar industri penerbangan tapi pemaju hartanah dan kompleks beli-belah mewah. Kalau ikut kepakaran, MAHB adalah pakarnya.

11. Kita tengok siapa Perdana Menteri kerajaan Melayu-Islam Mahiaddin akan utamakan – billionaire Desmond Lim atau jutaan rakyat jelata yang melabur dalam MAHB melalui KWSP, KWAP dan skim amanah saham PNB?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan