FMT Reporters
KUALA LUMPUR: Seorang wanita hari ini menyerahkan bukti kepada polis untuk menyokong dakwaan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham, “mengatur” untuk dua kenalan wakil rakyat itu merogolnya pada Disember tahun lalu.
Peguam wanita itu, Asheeq Ali Sethi Alivi, berkata anak guamnya memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selama 1 jam 10 minit mulai 10.30 pagi dan menyerahkan pelbagai bukti bagi membantu melengkapkan kertas siasatan kes itu.
“Kita telah serahkan segala bukti yang kita ada berkenaan pembabitan YB Hilman Idham dalam keseluruhan kejadian rogol menimpa anak guam saya sebelum ini,” katanya.
Asheeq berkata, ini kali ketiga anak guamnya dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kes rogol itu, kali pertama pada hari sama laporan dibuat pada 5 Dis 2020 dan kali kedua Mac lalu.
“Kita sudah menyerahkan segala bukti yang anak guam saya ada bagi membantu polis lengkapkan siasatan.
“Jadi, saya harap polis dapat mempercepatkan dan melengkapkan siasatan kerana kami sudah memberikan segala bukti yang ada serta mendakwa individu terbabit dengan kes ini,” katanya ketika ditemui selepas memberikan keterangan.
Asheeq berkata, antara bukti yang diserahkan adalah bersabit dakwaan pembabitan Hilman secara langsung sebagai individu yang “mengatur segala kejadian” atas anak guamnya pada hari berkenaan.
Sementara itu, Asheeq berkata sebelum ini anak guamnya memberi keterangan di IPD Brickfields berhubung dakwaan mangsa menerima ugutan dan gangguan daripada kenalan individu dinamakan dalam laporan polis kes rogol dibuatnya pada 5 Dis 2020.
Bagaimanapun, Asheeq berkata susulan laporan polis dibuat anak guamnya baru-baru ini, tiada lagi gangguan atau ugutan baharu diterimanya.
“Dalam laporan kedua itu anak guam saya memaklumkan kepada polis jika ada apa berlaku ke atasnya maka individu dinamakan dalam laporan polis pertama patut dipertanggungjawabkan”.
Sebelum ini, media melaporkan wanita yang mendakwa dirogol kenalan ADUN Gombak Setia itu memaklumkan dia diugut supaya menarik balik laporan polis terhadap suspek terbabit.
Berikutan itu mangsa ditemani peguamnya, memberi keterangan berhubung perkara itu di IPD Brickfields pada 11 Mei lalu.
Asheeq juga dipetik berkata, pihaknya menyerahkan bukti berkaitan paksaan dan ugutan diterima wanita itu daripada beberapa individu yang dikatakan mengugut anak guamnya menarik balik laporan polis pertama yang dibuat di IPK Kuala Lumpur pada 5 Dis 2020.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan