Malaysiakini
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengakui memang ada usaha mengumpul perakuan berkanun (SD) dalam kalangan ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan mengambil alih kerajaan.
Bercakap dalam temu bual yang disiarkan portal Malaysiapost semalam, Ahmad bagaimanapun berkata dia sendiri tidak didekati oleh mana-mana individu untuk menandatangani SD berkenaan.
Dia juga tidak menyatakan secara lanjut berkenaan usaha itu serta ahli Parlimen atau pemimpin yang terlibat.
"Perkara berkenaan SD memang saya ada dengar dan saya tidak menafikan kewujudannya.
“Usaha sedemikian memang sedang dibuat, bagaimanapun saya secara peribadi dan ada rakan-rakan yang lain tidak didekati untuk tanda tangan apa-apa,” katanya.
Ahmad berkata demikian ketika ditanya mengenai usaha pihak tertentu mengumpul SD bagi mendapatkan sokongan untuk menukar kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN).
Mutakhir ini, terdapat khabar angin berkenaan usaha mengumpul SD oleh beberapa pihak, ketika jangkaan sidang Parlimen akan diadakan tidak lama lagi.
Ahmad dilihat sebahagian daripada kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, yang didakwa sedang membentuk kerjasama dengan PKR untuk menubuhkan kerajaan bagi menggantikan PN ketika status sokongan ahli parlimen kepada Muhyiddin Yassin dipertikaikan.
Satu lagi kumpulan - yang dilihat tidak setuju dengan perkara itu - diketuai bekas naib presiden Hishammuddin Hussein yang juga menteri luar.
Pada 10 Jun lalu, laporan portal The Vibes yang memetik sumber mendakwa ada usaha mendapatkan sokongan ahli Palimen Umno agar Hishammuddin dijadikan calon timbalan perdana menteri.
Portal itu juga mendakwa Muhyiddin Yassin akan berundur daripada jawatannya sebagai perdana menteri beberapa bulan akan datang untuk memberi laluan kepada Hishammuddin.
Hishammuddin bagaimanapun menganggap laporan itu sebagai khabar angin.
PKR juga mendakwa perkara sama, yang menurut pengarah komunikasinya Fahmi Fadzil dilakukan oleh ahli Parlimen yang tidak memegang jawatan utama dalam parti mereka.
Kenyataan itu muncul ketika pertemuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dengan 15 pemimpin parti politik.
Dalam pada itu, Ahmad menjelaskan keputusan berkenaan kepimpinan negara perlu dibuat setelah negara mencapai imuniti kelompok.
“Setakat inilah kerajaan yang ada. Belah sana (pembangkang) mungkin ada usul-usul tertentu.
"Kita harap jika herd imunity tercapai, sebulan dua selepas itu saya harap kita tidak ada pilihan lain kecuali menyerahkan kepada rakyat untuk membuat mandat baru,” katanya lagi.
Mengenai keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dilaporkan menolak permohonan Umno untuk membuat pemilihan pada bulan ini, Ahmad berkata parti telah mendapatkan pandangan daripada MKN, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
"Kita sudah mendapatkan pandangan mereka, namun saya tidak boleh mendedahkannya," kata ahli parlimen Pontian itu.
Katanya lagi, persoalan sama ada pemilihan akan ditangguhkan atau tidak hanya akan diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno nanti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan