Bersatu akan sokong Zahid kekal presiden Umno untuk melemahkan Umno?

Malaysiakini 

Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agungnya, Hamzah Zainuddin akan terus menyokong Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno, kata wartawan veteran Kadir Jasin.

Kadir berkata oleh sebab itu Muhyiddin dan Hamzah mencipta pelbagai alasan bagi menggagalkan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Muda.

Katanya, dengan mengekalkan Ahmad Zahid, ia akan dapat melemahkan Umno dan memastikan parti itu kekal dalam Perikatan Nasional (PN).

"Mahiaddin dan Hamzah 'kenal' siapa Ahmad Zahid dan mereka mempunyai kuasa memastikan dia tidak belot terhadap PN. Tengok sajalah macam mana Ahmad Zahid membuat 'U-turn' terhadap sokongannya kepada Anwar Ibrahim akhir tahun lalu.

"Buat masa ini, Ahmad Zahid menikmati kebebasan daripada cengkaman Mahiaddin dan Hamzah dengan berselindung di sebalik kekuatan kumpulan yang mendesak supaya parlimen dipulihkan segera seperti dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu pada 16 Jun lalu.

"Umno adalah antara parti yang paling nyaring mendesak agar Mahiaddin mentaati titah di-raja itu. Natijahnya, Umno akan terus berpecah belah dan lemah selagi Ahmad Zahid menerajuinya," katanya dalam catatan di Facebook hari ini.

'Halal dan haram bukan pertimbangan mereka'

Tokoh wartawan itu berkata Muhyiddin dan Hamzah bercita-cita besar menjadikan Bersatu sebagai parti Melayu-Islam terbesar menggantikan Umno selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Cita-cita mereka sudah separuh berjaya dengan menjadi parti tunjang Perikatan Nasional (PN).

"Halal atau haram, sah atau tidak bukanlah pertimbangan utama mereka. Yang penting mereka sudah berjaya menubuhkan kerajaan dan dengan itu boleh melaksanakan 'scheme of things' mereka.

"Tidak ada parti politik yang mahu pesaingnya kuat apatah lagi Bersatu yang cita-cita besarnya adalah mengambil alih peranan Umno sebagai parti dominan Melayu-Islam," katanya.

Umno menjalinkan kerjasama dengan Bersatu bagi membentuk kerajaan PN selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang Februari tahun lalu. 

Bagaimanapun, hubungan itu mulai retak apabila mereka mula mengambil alih kerajaan selepas berlakunya krisis politik pada Feb 2019.

Pada perhimpunan Agung Umno (PAU) 28 Mac lalu, Umno memberi bayangan bakal meninggalkan kerajaan pada bulan Ogos nanti.

Sebelum ini timbul spekulasi bahawa presiden PKR, Anwar Ibrahim merancang untuk mengadakan kerjasama dengan Zahid dan bekas presiden Umno, Najib Razak. 

Anwar baru-baru ini berkata PKR tidak boleh "terlalu keras" dan menolak segala bentuk kerjasama dengan mana-mana parti politik, sama ada daripada pembangkang atau PN.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan