Demi ilmu, pelajar ikuti PdPR atas bot ‘ditemani’ buaya

FMT Reporters

Murid terpaksa menaiki bot mengharungi sungai yang dihuni buaya untuk mendapatkan capaian internet.

PETALING JAYA: Sejak 15 bulan lalu, Danniella Inez, 17 dan dua sepupunya terpaksa mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) di atas bot di Sungai Batang Lassa, Sarawak, yang dihuni buaya.

Biarpun hujan lebat, tiga pelajar dari Kampung Sawai itu tetap ke lokasi berkenaan dengan hanya berteduhkan payung semata-mata tidak mahu ketinggalan pembelajaran dalam talian, disebabkan kampung mereka tiada akses internet.

Danniella pelajar tingkatan lima SMK Batang Igan, manakala dua sepupunya Nick Nazuel Juria, 16, dan Sherly Erina, masing-masing pelajar MRSM Bentong serta Politeknik Mukah.

Ketiga-tiganya terpaksa mengambil tindakan drastik demi menghadiri kelas dalam talian sejak perintah kawalan pergerakan (PKP) kali pertama dilaksanakan tahun lalu, dengan “rutin hairan” itu diketahui umum selepas video mereka menghadiri kelas dalam talian tular di media sosial, menurut laporan Utusan Borneo.

Abang Danniella, Carry Alwind Sahren, 19, berkata adik dan dua sepupunya itu mengikuti kelas dalam talian di atas bot sejak pelaksanaan PKP tahun lalu.

Katanya, ketiadaan liputan internet di kawasan rumah menyukarkan mereka menyiapkan dan menghantar kerja sekolah terutama yang perlu dihantar segera.

“Dari rumah, mereka menaiki bot dan menempuh perjalanan kira-kira lima hingga 10 minit untuk sampai ke tebing sungai berhampiran yang mempunyai capaian internet lebih baik.

“Ada ketika mereka terpaksa menggunakan payung untuk berlindung dari hujan dan panas dan kadang-kadang terpaksa belajar dalam keadaan pakaian basah kuyup jika hujan lebat,” katanya.

Carry berkata, ibu dan saudaranya sering menjadi pemandu bot menemani tiga pelajar itu ketika mengikuti PdPR.

“Selain mereka bertiga, terdapat pelajar lain juga di kawasan tebing tersebut yang senasib dengan mereka,” katanya.

Beliau berkata, mereka bertiga sebelum ini tinggal di asrama, namun terpaksa pulang selepas PKP dilaksanakan.

“Keadaan ini menyebabkan mereka sukar untuk mengikuti PdPR dengan baik dan selesa,” katanya.

Menurutnya, alternatif bagi tiga pelajar itu mendapat capaian internet lebih baik adalah untuk pergi ke pasar Matu yang terletak 90 minit perjalanan dari kampung mereka.

Carry mengakui bangga dengan semangat dan kegigihan mereka bertiga, namun mengakui sentiasa bimbang keselamatan mereka.

“Sungai itu ada buaya dan perkara itulah paling merisaukan saya setiap kali mereka ke tebing sungai.

“Satu lagi cabaran yang terpaksa mereka tempuh ialah apabila enjin bot rosak. Keadaan ini menyebabkan mereka terlepas mengikuti sesi PdPR jika ada kelas pada hari tersebut,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan