Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Polis menahan enam individu termasuk tiga anggota polis selepas disyaki melarikan peti besi mengandungi wang tunai hampir setengah juta ringgit di sebuah pejabat syarikat kurier, di sini, Rabu lalu.
Kesemua suspek berusia 21 hingga 50 tahun ditahan pada hari sama selepas pemilik syarikat membuat laporan polis berhubung kejadian pada 1.30 pagi itu.
Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, siasatan mendapati kumpulan penjenayah terbabit bertindak mencabut fius utama bekalan elektrik di luar premis menyebabkan kamera rakaman litar tertutup (CCTV) tidak berfungsi sebelum mengumpil pintu utama.
"Berdasarkan maklumat, polis berjaya menahan salah seorang suspek iaitu orang awam tidak jauh dari lokasi kejadian pada 4 pagi hari sama.
"Susulan itu, kita menahan lima lagi suspek iaitu dua daripadanya adalah orang awam pada Khamis lalu, sebelum tiga anggota polis terbabit ditahan, semalam," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalannya Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari
Kamarul Zaman berkata, kesemua mereka ditahan secara berperingkat dan ada yang ditahan di rumah serta pejabat.
"Polis menemui semula wang tunai berjumlah RM263,295 dan kita masih mengesan dua lagi suspek yang dipercayai masih berada di daerah ini selain wang tunai RM130,000 yang masih hilang.
KAMARUL Zaman (tengah) menunjukkan peti besi yang mengandungi wang tunai hampir setengah juta ringgit yang dilarikan penjenayah pada sidang media hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
"Turut dirampas tujuh telefon bimbit, dua kad sim, kad memori, alat pemotong besi, beg tangan, baju lengan pendek dan seluar panjang," katanya.
Katanya, kesemua suspek direman bermula semalam sehingga 1 Julai ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati tiga suspek iaitu orang awam positif dadah jenis methapetamin, manakala tiga anggota polis itu pula negatif dadah.
"Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagaimana tiga anggota polis berkenaan boleh terbabit dalam kegiatan ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan