‘Jika mahu tularkan saya, silakan’

IZZATUL ‘AIN AZMAN

Tangkap layar perbualan antara pelajar dan pensyarah tersebut yang tular di Twitter

PETALING JAYA – Tindakan seorang pensyarah yang menolak alasan seorang pelajar untuk dikecualikan daripada kelas online kerana kematian datuk saudara dikecam netizen setelah melihat cara pensyarah tersebut yang kurang mesra ketika berbalas mesej di aplikasi WhatsApp tular di laman Twitter sejak dua hari yang lepas.

Menerusi tangkap layar WhatsApp dari aplikasi TikTok yang dimuat naik oleh @nurinlofa memaparkan mesej pelajar yang memberitahu tentang kematian datuk saudaranya itu ditolak oleh pensyarahnya dan pensyarah tersebut mencabar pelajar itu untuk menularkannya di media sosial.

“Maaf, saya tidak terima alasan ini. Datuk saudara. Jika mahu tularkan saya, silakan,” balasnya dalam mesej tersebut.

Rata-rata pengguna laman Twitter meluahkan rasa tidak puas hati dan berang terhadap cara serta mesej yang dibalas oleh pensyarah tersebut seolah-olah tidak berbudi bahasa atas kejadian yang telah menimpa pelajar itu.

“Bukan isu boleh atau tidak, isu cara jawab pensyarah itu. Isu kematian ini merupakan isu sensitif. Pensyarah itu boleh sahaja jelaskan dengan cara yang lebih baik seperti beritahu pelajar tersebut bahawa tiada pengecualian dan meminta maaf.

“Budi bahasa itu budaya kita, tidak kiralah apa pun taraf antara kita dengan sesiapa pun,” balas @Aniq_Rodzi.

“Saya cuma nak bagitahu, ada jenis orang yang tinggal sebelah-menyebelah sahaja dengan adik beradik. Depan, tepi, kiri dan kanan selang satu rumah ada rumah adik-beradik yang lain. Pensyarah mahu pelajar tersebut teruskan masuk kelas online dan buat seperti tiada apa yang berlaku?” ciap @Ismisudahla3.

“Bawalah bertaubat pensyarah yang sebegini. Jangan sombong dengan gaji dan pangkat yang awak ada. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik antara dengan alam ataupun waktu. Setiap apa yang berlaku, pasti akan berbalik,” ciap pengguna Twitter @Syah57646086. – K! ONLINE.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan