Memang ada dengar-dengar “gerakan khianat” tubuh kerajaan baharu, kata Shahrir Samad

FMT Reporters

PETALING JAYA: Veteran Umno, Shahrir Samad mengakui wujud “gerakan khianat” untuk menumbangkan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

“Memang ada dengar-dengar sudah ada gerakan mengumpul Akuan Bersumpah (SD) dari Ahli Parlimen untuk tubuh suatu lagi kerajaan baru,” katanya dalam catatan di Facebook.

Shahrir berkata, dua kem yang didakwa sedang menggerakkan usaha berkenaan adalah pihak dalaman Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan menteri Umno dan Bersatu manakala sebelah pihak lain adalah Pakatan Harapan yang mengimpikan kerajaan baharu dipimpin Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, beliau berkata, gerakan membabitkan menteri Umno itu tidak mendapat restu pimpinan tertinggi parti.

“Umno cakap terang-terang tak mahu bersama Bersatu pada PRU15 dan akan henti bersama PN selepas darurat tamat. Tak main khianat politik ni,” katanya di Facebook.

Semalam, tular satu kenyataan bertajuk “Hentikan politik khianat sesama Perikatan Nasional” oleh Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bagaimanapun, sayap Bersatu itu menafikan surat berkenaan dikeluarkan oleh pihak mereka.

Shahrir berkata, sekiranya kenyataan itu benar ia disifatkan ‘sungguh menarik’ kerana apa yang disuarakan adalah mengenai gerakan khianat dalam PN untuk cuba menumbangkan perdana menteri dengan mengumpul SD Ahli Parlimen.

“Tajuk kenyataan pun ‘Hentikan Politik Khianat Sesama Perikatan Nasional’. Kalau sesama PN, ia hanya libatkan dalaman Bersatu dan PAS sahaja. Umno tidak berada dalam PN,” kata beliau.

Beliau berkata, tidak mungkin PAS akan melakukan pengkhianatan politik walaupun pemimpin parti itu terutama Setiausaha Agungnya boleh berdolak dalik mengenai isu ‘sains dan data’ serta ‘mengalih tiang gol’.

“Maknanya dalam Bersatulah tu. Sebahagian besar dalam Bersatu adalah mereka yang telah mengkhianati parti asal mereka sendiri. Azmin Ali dengan geng PKRnya sendiri atau ‘kartel’. Ataupun Hamzah Zainudin (Menteri Dalam Negeri) dengan geng kataknya yang melompat keluar dari Umno,” tambah beliau.

Bekas Pengerusi Felda itu berkata, kerajaan PN disifatkan sebagai pentadbiran carca merba kerana dasarnya yang serba tidak kena.

“Betullah cakap Tun Musa Hitam, kerajaan PN macam ‘kerajaan main masak-masak’, tapi tak pandai masak kerana masakan tak sedap kerana campur ramuan yang tak kena.

“SD lagi! Takkanlah negara dan rakyat nak lihat suatu lagi perdana menteri baru, ketiga semenjak Barisan Nasional ditumbangkan pada PRU14. Sudah jadi Politik Kerusi Berirama!” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan